BALING – Luluh hati seorang tukang rumah apabila dua buah motor dan sebuah kereta miliknya termasuk mesin jahit isteri bagi membantunya menyara keluarga rosak akibat banjir yang melanda rumah mereka di Kampung Bukit Iboi, di
sini.
Yazid Ahmad, 43, yang ditemui sempena Misi Op Kasih Banjir Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) di Baling itu tinggal sehelai sepinggang kerana semua pakaian dan barangan rumah turut rosak kerana air banjir berlumpur itu berlaku secara
mendadak.
Beliau yang juga bapa kepada pelajar UniMAP Izatul Nazwa, 21, tidak menyangka banjir teruk itu akan berlaku memandangkan sebelum ini sudah beberapa hari cuaca panas dan cerah.
”Tambahan, semasa kejadian saya berada di pekan Baling manakala isteri bersama tiga anak berada di rumah. Lebih mencemaskan apabila saya tidak dapat menghubungi mereka selepas kejadian.
”Mereka menyelamatkan diri dengan berhimpit di atas katil dua tingkat apabila air meningkat ke paras dada dan tidak sempat menyelamatkan barangan kerana ia berlaku dengan pantas,” katanya.
Misi Op Kasih Banjir UniMAP yang diketuai Naib Canselor UniMAP Prof Ts Dr Zaliman Sauli itu melawat keluarga pelajar yang terjejas di sekitar Baling di samping menyalurkan bantuan awal kepada mereka berupa keperluan asas dan wang tunai.
Turut hadir Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) UniMAP Prof Dr Mohd Fo’ad Sakdan, Pengarah Jabatan Keselamatan UniMAP Mustaffa Ismail dan sukarelawan UniMAP.
Selain keluarga Izatul, delegasi berkenaan turut melawat dan menyalurkan sumbangan kepada keluarga alumni UniMAP pelajar Tahun Dua Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektronik (FTKEN), Nai’man Mohamad Nawavi di Kampung
Tanjung,Kupang dekat sini.
Zaliman berkata UniMAP mengambil pendekatan segera menghantar bantuan awal bagi meringankan keluarga pelajar yang terjejas akibat banjir berkenaan. – MalaysiaGazette