KUANTAN – Seorang pekerja lelaki ladang kelapa sawit yang dipijak dan diserang sekumpulan gajah di Mentakab pada Selasa lalu disahkan meninggal dunia semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, mangsa meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAS) Temerloh.
Mangsa berusia 55 tahun sebelum itu patah pergelangan kaki kiri dan cedera di bahagian badan akibat serangan itu.
“Pihak Perhilitan masih menunggu laporan daripada HoSHAS berhubung punca sebenar kematian dan sehingga kini masih tidak dapat mengesahkan punca kematian mangsa.
“Difahamkan mangsa dipercayai dipijak gajah liar di kawasan ladang tempatnya bertugas pada pukul 8 pagi dan pihak kami menerima aduan kejadian berkenaan pada pukul 4.15 petang dan segera membuat siasatan berhubung kemalangan terbabit.
“Perhilitan Temerloh sedang membuat pemantauan situasi pergerakan kumpulan gajah di situ bagi rancangan tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut siasatan yang dijalankan pihaknya mendapati ladang tempat lelaki terbabit bekerja terletak bersempadan dengan Hutan Simpan Kemasul.
Dalam insiden berkenaan, pihaknya percaya terdapat sekurang-kurangnya tujuh gajah bergerak dalam satu kumpulan yang menyerang mangsa.
Manakala berdasarkan rekod jabatan, terdapat antara 35 hingga 40 gajah yang bergerak dalam beberapa kumpulan di hutan simpan berkenaan.
Bagi mengelak perkara tidak diingini, Perhilitan menasihati kepada mana-mana pihak supaya tidak cuba bertindak sendiri dengan tujuan menghalau dan menghalang gajah liar berkenaan. – MalaysiaGazette