Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin bersama Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berangkat meninjau lokasi kejadian jambatan runtuh dalam kejadian banjir pada Isnin lalu dan menyeberangi Jambatan Bailey yang baru disiapkan pada hari ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota tentera dari Rejimen Askar Jurutera Diraja 2 Divisyen. --fotoBERNAMA (2022) HAK CIPTA TERPELIHARA

BALING – Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin menzahirkan rasa dukacita dengan kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku di daerah ini pada Isnin lepas yang telah mengorbankan tiga nyawa.

Tengku Sarafudin Badlishah bertitah baginda turut terkejut dan bersedih selepas mengetahui bencana itu menimpa penduduk kerana ia merupakan kejadian kedua selepas tragedi kepala air di Gunung Jerai pada Ogos tahun lepas.

“Masa itu dapat berita menerusi (aplikasi) WhatsApp (mengenai) semua kejadian ini berlaku. Beta berasa terkejutlah dan sedih sebab bencana ini berlaku lagi, ini bukan kali pertama. Sebelum ini (kali pertama) berlaku di Yan. Jadi, (Beta) sedih ia berlaku dekat penduduk kampung,” titah baginda.

Baginda bertitah demikian kepada pemberita ketika berkenan berangkat melawat tempat kejadian banjir di sini. Turut berangkat Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff dan anakanda baginda iaitu Tunku Zara Bahiyah dan Tunku Sulaiman Badlishah.

Sehubungan itu, Raja Muda Kedah berharap penduduk yang terjejas akibat bencana itu dapat terus bersabar dan bertitah kerajaan negeri akan membantu termasuk menyediakan penempatan untuk mangsa yang kehilangan rumah akibat bencana berkenaan.

“Beta nak ucap terima kasih kepada semua polis, bomba, NGO (badan bukan kerajaan), PBT (Pihak Berkuasa Tempatan) dan pihak yang datang untuk membantu buat operasi menyelamat, pembersihan, bantu semua penduduk kampung yang terjejas,” titah baginda.

Tengku Sarafudin Badlishah turut menasihati penduduk yang tinggal di tepi sungai dan gunung serta kawasan berisiko tinggi agar berpindah dengan serta-merta sekiranya terdapat amaran awal kejadian banjir dan hakisan tanah di kawasan kediaman mereka.

Terdahulu, baginda berkenan mendengar taklimat di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) dan seterusnya berangkat meninjau lokasi kejadian jambatan runtuh di Kampung Iboi serta menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan harian kepada keluarga terjejas.

Semasa di lokasi kejadian jambatan runtuh itu, baginda turut berkenan berangkat menyeberangi sungai menggunakan jambatan Bailey yang baru disiapkan hari ini oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan anggota tentera sebagai jambatan sementara untuk memudahkan pergerakan penduduk.

Tuanku berdua bersama kedua-dua anakanda baginda turut berkenan mencemar duli membersihkan perkarangan Sekolah Kebangsaan Kuala Kupang yang turut terjejas teruk akibat bencana itu.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast