KUALA LUMPUR – Sejak semalam, warga kota mula mengambil peluang untuk pulang menyambut perayaan Aidiladha di kampung masing-masing.
Tinjauan MalaysiaGazette di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) sebelum Plaza Tol Gombak hari ini mendapati, aliran trafik bergerak perlahan menghala ke Pantai Timur selepas berlaku peningkatan jumlah kenderaan kira-kira pukul 2 petang.
Malah kesesakan itu berlanjutan lebih 11 kilometer (KM) hingga ke KM42.1 laluan Gombak ke Bukit Tinggi.
MalaysiaGazette yang membuat tinjauan hingga ke Hentian Sebelah Gombak turut mendapati aliran trafik mengalami kelewatan lebih 30 minit daripada kebiasaan menuju ke Genting Sempah.
Menerusi ciapan di Twitter Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), terdapat kesesakan di KM 42.2 hingga KM 44.3 laluan Bukit Tinggi ke Lentang setakat pukul 3.30 petang tadi
Bagaimanapun, aliran trafik dilihat lancar dan terkawal di plaza tol yang sama menghala ke ibu negara.
Sementara itu, LLM melaporkan berlaku kelewatan di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) sepanjang lima kilometer dari KM118.5 Lanchang ke Temerloh.
Susulan itu, orang ramai dinasihatkan merancang waktu perjalanan supaya dapat menikmati perjalanan yang selesa dan kondusif selain mematuhi arahan lalu lintas yang ditetapkan. – MalaysiaGazette