Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi (kanan) menerima replika cek dari Pemangku Ketua Jabatan QSR Brands (M) Holdings Berhad, Hayazi Daud (dua kiri) sambil diiringi Timbalan Pengerusi Masjid Khalid Al-Walid, Brigedier Jeneral Mohd Hamzah Adam pada Majlis Korban dan Aqiqah Hari Raya Aidiladha peringkat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2022 di Masjid Khalid Al-Walid, Jalan Padang Tembak, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 10 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Selepas dua tahun ibadah korban ditangguhkan susulan pandemik Covid-19, sambutan Aidiladha warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) cukup bermakna hari ini.

Ini kerana, selain dapat menunaikan solat sunat Aidiladha dipimpin oleh Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Kor Agama Angkatan Tentera Brigadier Jeneral Mohd Hamzah Adam, warga ATM berganding-bahu menyembelih 26 ekor lembu dan empat ekor kambing.

Program ini dikendalikan ATM bersama-sama pengurusan Masjid Khalid Al-Walid Kementerian Pertahanan di Jalan Padang tembak.

Program korban dan aqiqah ini telah dirasmikan dengan simbolik penyerahan pisau untuk penyembelihan daripada Ketua Staf Markas ATM, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi kepada Brigadier Jeneral Mohd Hamzah Adam selaku Timbalan Pengerusi Masjid Khalid Al-Walid mewakili Ketua Pengarah KAGAT, Mejar Jeneral Mohd Rashidi Bujai yang juga Masjid Khalid Al-Walid.

Di majlis yang sama replika cek sumbangan wang RM50,000 berupa lapan ekor lembu untuk agihan daging korban untuk golongan asnaf ATM di masjid berkenaan disampaikan oleh Pemangku Ketua Jabatan QSR Brands (M) Berhad Hayazi Daud kepada Ketua Staf MK ATM mewakili Panglima Angkatan Tentera  iaitu Leftenan Jeneral Datuk Mohd Zakaria Yadi.

Bercakap kepada pemberita selepas proses penyembelihan lembu korban, Mohd Hamzah berkata, tahun ini seramai 150 anggota ATM menyertai proses penyembelihan itu.

Katanya, kesemua daging korban dan aqiqah telah diagihkan kepada ahli-ahli kariah masjid serta fakir miskin di sekitar kawasan ini.

Ujar beliau, ibadah korban dituntut dalam Islam dan program yang dianjurkan ini juga dapat menyemarakkan semangat berkorban dalam menghayati syiar Islam.

“Nilai dan tahap pengorbanan yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim AS dan puteranya harus dijadikan panduan dan pedoman kepada seluruh umat Islam.

“Tahun lepas, ibadah korban hanya disambut secara terhad dengan penyembelihan 18 ekor lembu sahaja di pusat penyembelihan tanpa kehadiran orang ramai, hari ini suasana cukup berbeza.

“Kami membuka semula peluang untuk kita sama-sama bersedekah dan mengagihkan daging korban kepada fakir miskin, sekali gus memberi kegembiraan kepada mereka,” katanya. – MalaysiaGazette