KUALA LUMPUR – Enam kali dibuang kerja kerana keadaan cahaya matanya yang sering dimasukkan ke hospital akibat masalah paru-paru, jantung berlubang dan pendarahan di otak, ada kalanya Nur Zaitul Amira Hamin,30 putus asa dengan kehidupannya sekeluarga.
Katanya, setiap kali jatuh sakit, anak perempuannya, Nur Awfiyah Batrisya yang baru berusia setahun enam bulan akan terlantar di hospital lebih kurang dua minggu hingga ke sebulan lamanya.
Nur Zaitul akui, situasi itu akan menyukarkannya memberi komitmen kepada pekerjaan.
Ibu muda ini berkata, anaknya mempunyai masalah kesihatan sejak dia dipaksa lahir secara pembedahan pada usia kandungan 29 minggu kerana degupan jantungnya yang laju.
Paling menakutkan, apabila, cahaya mata bongsunya itu terpaksa ditidurkan beberapa hari selepas dijangkiti virus sinsitium pernafasan (RSV) selepas tiga bulan dilahirkan.
“Selepas melahirkan dia, anak saya ini dimasukkan di hospital hampir tiga bulan, masa tu PKP lagi. Dalam masa yang sama saya dibuang kerja atas alasan syarikat pada masa itu tidak mampu tanggungan gaji pekerja, tapi saya antara 30 orang sahaja yang dibuang kerja.
“Selepas itu selang sebulan anak saya selalu dimasukkan ke hospital sebab dijangkiti virus RSV dan ditidurkan. Doktor sahkan peluang anak saya sembuh hanya 50 peratus tapi alhamdulillah dia sembuh perlahan-lahan. Tapi doktor memang katakan anak saya ini mudah kena jangkitan kuman dan jatuh sakit.
“Saya cuba bekerja, tapi bila saya bekerja anak saya akan sakit, sakit bukan ringan tapi teruk sampai sebulan.
Hampir lima hingga enam kali dibuang kerja sejak itu. Ada kalanya saya putus asa, salahkan diri, salahkan anak sebab bila saya nak bekerja anak sakit,” katanya kepada MalaysiaGazette ketika ditemui pada program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR), MG Prihatin Sempena Hari Raya Aidiladha di Flat Taman Desa, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Nur Zaitul berkata, keadaan kewangannya bersama suami Muhd Rafie Ismaludin, 32 semakin buruk apatah lagi sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.
Katanya, kedua-dua mereka terpaksa menggunakan wang Kumpulan Wang Simpanan Pekerjaa (KWSP) untuk kelangsungan hidup tiga beranak selepas tujuh bulan kedua-dua tidak bekerja.
Kini, suaminya yang hanya bekerja secara sambilan kerana memerlukan masa yang fleksibel untuk sebarang kemungkinan sekiranya anaknya dimasukkan ke hospital lagi.
Tambah Nur Zaitul, walaupun di hati kecilnya bersuara untuk membantu suami dengan mencari pekerjaan namun dalam masa yang sama kesihatan Nur Awfiyah Batrisya yang tidak menentu turut membimbangkannya.
“Sekarang hanya suami yang bekerja tetapi tidak kerja tetap. Sampai sekarang saya cuba nak cari kerja tapi takut anak saya sakit lagi,” tambahnya.
Walaubagaimanapun, ibu muda itu bersyukur suaminya sentiasa memberi semangat kepadanya untuk terus kuat menjalani dugaan hidup bersama-sama.-MalaysiaGazette