Suspek wanita yang terbabit dalam kejadian khianat berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah sedang dijejaki polis.

ISKANDAR PUTERI – Polis sedang mengesan dua suspek lelaki dan perempuan yang terbabit dalam kejadian khianat berhampiran Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Kompleks Sultan Abu Bakar, Gelang Patah, dekat sini, 10 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Rahmat Ariffin, berkata,  kejadian itu berlaku apabila kenderaan dipandu mangsa bergesel dengan kereta dipandu dua suspek berkenaan.

Katanya, ketika kejadian, mangsa yang menaiki sebuah kereta jenis Toyota Alphard mengubah laluan ke kanan dan bergesel dengan sebuah kereta jenis KIA yang dinaiki dua suspek dari arah kanan.

Kedua-dua suspek kemudian memberhentikan kenderaan lalu turun.

Suspek lelaki kemudian bertindak menjerit dan menunjukkan isyarat lucah kepada mangsa.

Sementara suspek perempuan bertindak mencabut nombor pendaftaran kereta mangsa dan mencampaknya arah cermin hadapan keretanya.

“Kejadian berlaku semasa, mangsa dalam perjalanan pulang dari Forest City ke Singapura,” katanya dalam kenyataan di sini.

Menurut beliau, mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan namun keretanya rosak.

Kejadian itu dirakam melalui dashcam dalam kereta mangsa, selain video tular dirakam pengguna jalan raya lain.

Kes di siasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

Rahmat turut menasihati pengguna supaya memandu secara berhemah dan tidak terburu-buru terutama di laluan CIQ Link Kedua (Second Link) terutama ketika musim perayaan yang merekodkan jumlah kenderaan yang banyak. – MalaysiaGazette