Pemain boling wanita negara Natasha Roslan dan Sin Li Jane. Foto Facebook Bowling Malaysia

KUALA LUMPUR – Pemain boling negara, Natasha Roslan dan Sin Li Jane mara ke separuh akhir beregu wanita Kejohanan Dunia di Alabama, Amerika Syarikat pada Sabtu (pagi Ahad di Malaysia), untuk kekal di landasan bagi meraih pingat pertama mereka pada kejohanan itu.

Natasha-Li Jane memulakan kempen mereka dengan menewaskan Taishaye Naranjo-Pamela Perez dari Puerto Rico 2-0 pada pusingan 16 terakhir di Kompleks Konvensyen Birmingham Jefferson, menang 234-164 dan 203-178 dalam format tiga permainan terbaik.

Pada suku akhir, pasangan beregu itu mengenepikan Denise Blankenzee-Samantha Greiner dari Belanda 259-144, 194-188 untuk bertemu Mika Guldbaek-Mai Ginger Jensen dari Denmark dalam aksi empat terakhir pagi Isnin.

Pasangan Denmark itu mara ke separuh akhir selepas mengalahkan regu Korea Selatan Kim Hyun Mi/Yang Su-jin 201-194, 217-196, menurut laman web rasmi Kejohanan Dunia itu.

Sementara itu, pasangan beregu lelaki negara Muhammad Rafiq Ismail-Timmy Tan menamatkan kempen mereka pada pusingan 16 selepas tumbang 1-2 kepada Alec Kiplinger-Trent Mitchell dari Amerika Syarikat.

Walaupun memenangi perlawanan pertama 256-214, pemain Malaysia tidak dapat menandingi kehebatan regu Amerika itu apabila tewas 212-254, 199-245 dalam dua perlawanan berikutnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast