KUALA TERENGGANU – Seorang peniaga menanggung kerugian hampir RM1 juta apabila dua kedainya musnah dalam kebakaran yang membabitkan lapan deretan kedai di Jalan Hiliran di sini, malam tadi.
Nik Mohd Kamil Abu Bakar, 37, berkata dalam kejadian kira-kira 10.15 malam tadi, dia baru sahaja menutup kedainya dan masih berada di kawasan berdekatan sebelum dimaklumkan kedainya terbakar.
“Saya tutup kedai dalam pukul 10 malam sebab esok nak raya, tutup awal sikit, lepas itu saya jalan-jalan di kedai dekat sini nak cari baju anak, dalam 15 minit lepas tu ada orang beritahu ada api dalam kedai basikal saya.
Beliau berkata, satu lagi kedainya yang menjual pakaian terletak bersebelahan, turut dijilat api dan hanya sejumlah kecil barangan dapat diselamatkan.
“Saya baru ambil stok barangan baharu sebab nak buka satu lagi kedai basikal di Gong Badak lepas raya ini, sekali dengan stok baharu habis terbakar. Ujian besar untuk saya pada malam raya ni, saya reda sajalah,” katanya.
“Ketika sampai di lokasi, kedai basikal berkenaan sudah musnah sepenuhnya dijilat api (lokasi kebakaran bermula). Punca kebakaran masih dalam siasatan,” katanya.
Kira-kira 30 anggota bersama empat jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan bomba mengambil masa kira-kira 30 minit bagi mengawal kebakaran. – BERNAMA