Md Amin (tiga dari kiri) menunjukkan minuman berjenama UPSIDE yang dihasilkan Dr Jaffry pada program Hari Keluarga UPSI 2022 baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1.5 tan buah durian menjadi tarikan utama penganjuran Hari Keluarga Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 2022 yang berlangsung di Stadium dan Arena Kampus Sultan Azlan Shah baru-baru ini.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, selain jamuan makan durian serta buah-buahan tempatan, pelbagai aktiviti diadakan oleh Bahagian Governan, UPSI dengan kerjasama pusat tanggungjawab lain.

Antara a aktiviti yang dilakukan adalah senamrobik, acara sukaneka dan persembahan kebudayaan serta kemunculan persembahan penyanyi popular era 90-an, Nizam Laksamana.

“Sebagai universiti yang sentiasa cakna dengan kebajikan warganya, program Hari Keluarga dilaksanakan untuk menghargai tenaga kerja selain mengeratkan silaturahim antara para kakitangan sekaligus mengangkat aspirasi Keluarga Malaysia di peringkat universiti,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu, Pengerusi Program Hari Keluarga UPSI 2022, Helmi Zaifura Abdul Rahman berkata, program yang julung-julung kali diadakan itu berjaya dilaksanakan atas inisiatif Jabatan Pendaftar UPSI.

Ia turut menyaksikan penyatuan Majlis Bersama Jabatan (MBJ) melibatkan kesatuan-kesatuan pengurusan seperti Persatuan Pentadbir dan Ikhtisas UPSI (Prestasi), Persatuan Kakitangan Akademik UPSI (Peka), Kesatuan Pegawai Am UPSI (KPA) dan Persatuan Wanita UPSI (Pewaris).

“Kali terakhir penganjuran Hari Keluarga melibatkan semua kakitangan UPSI menerusi inisiatif Badan Kebajikan Kakitangan Universiti adalah pada 11 November 2006,” tambahnya.

Sementara itu pada program sama turut diadakan pelancaran minuman isotonik berperisa limau kasturi, sebuah inovasi oleh penyelidik Jabatan Sains Kesihatan, Dr Nurul Fadhilah Abdullah.

Menurut Dekan FSSK, Dr Jaffry Zakaria, minuman berjenama UPSIDE kaya dengan vitamin C mengandungi formula menghilangkan dahaga dan dapat membantu meningkatkan prestasi atlet.

“Melalui kajian yang dilaksanakan, UPSIDE mengandungi keperluan nutrisi yang diperlukan kepada para atlet untuk menjalani latihan sekaligus membantu optimumkan prestasi mereka ketika di lapangan,” katanya.

Tambah beliau, pengeluaran produk minuman UPSIDE sedang dirangka untuk proses pengkomersialan dan dilakukan secara bersasar melibatkan fokus aktiviti sukan dalam dan sekitar kampus.

“UPSI juga masih mengintai peluang usahasama mana-mana pihak dalam industri baik persatuan sukan kebangsaan untuk mengeluarkan produk berkaitan peningkatan prestasi di UPSI,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast