Sukarelawan UTHM berganding bahu membantu membersihkan kediaman mangsa banjir di Baling.

BALING – Seramai 47 sukarelawan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menyertai misi bantuan banjir bagi membantu mangsa yang terlibat dengan kejadian kepala air dan banjir kilat di Baling, Kedah pada 7 Julai lalu.

Seramai 10 staf dan 37 pelajar dihantar bagi melaksanakan kerja-kerja kesukarelawanan di beberapa lokasi yang dikenal pasti di daerah tersebut.

UTHM turut menghantar satu lori membawa barangan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir untuk diserahkan kepada Pusat Pemindahan Banjir bagi tujuan agihan.

Menurut Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Haszrinaz Husain, pihaknya juga turut menyampaikan sumbangan kepada dua pelajar UTHM yang terlibat dengan bencana ini bagi membantu meringankan beban pelajar dan ahli keluarga terlibat.

Manakala Yayasan UTHM pula telah menyumbang barang keperluan berupa makanan dan barangan keperluan diri bernilai RM10,000 kepada mangsa banjir.

“Semoga usaha kecil ini dapat membantu meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa banjir di Baling, Kedah dan mampu memberi sedikit keceriaan kepada mereka untuk menyambut Aidiladha,” katanya.

UTHM amat mengalu-alukan sumbangan daripada warga kampus dan orang ramai bagi menjayakan Misi Bantuan Banjir UTHM. Sumbangan boleh dibuat melalui Akaun Yayasan UTHM (Bank Rakyat 1101-6862-87). – MalaysiaGazette