SHAH ALAM – Pertubuhan Kami Prihatin Selangor mempersoalkan cadangan kerajaan negeri untuk merobohkan Stadium Shah Alam dan membangunkan semula stadium berkapasiti kecil yang menelan kos RM350 juta.
Pengerusinya, Datuk Ahmad Mua’adzam Shah Ya’kop berkata, sepatutnya bangunan ikonik Asia Tenggara itu sepatutnya boleh diselenggara dengan baik dan kerja-kerja membaikpulih hanya melibatkan kos RM50 juta sahaja.
“Dari segi untuk membangunkan stadium (baharu), ia akan memakan kos sehingga RM350 juta di mana kosnya jauh lebih besar berbanding kalau kita nak baiki Stadium Shah Alam ini, hanya kos RM50 juta sahaja.
“Menteri Besar harus memberikan perhatian yang lebih supaya memikirkan bagaimana membaikpulih Stadium Shah Alam ini kerana ia melibatkan juga keselesaan penduduk di kawasan sekitar,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Stadium Shah Alam, hari ini.
Pada 29 Jun lalu, media melaporkan gelanggang rasmi bagi pasukan bola sepak Red Giants itu didakwa akan diroboh dan digantikan dengan sebuah stadium baharu yang lebih kecil.
Stadium baharu didakwa berkapasiti 30,000 hingga 40,000 penonton itu lebih mudah dijaga dan diselenggara berbanding Stadium Shah Alam sekarang yang boleh memuatkan sehingga 80,300 orang.
Ahmad Mua’adzam Shah juga melahirkan rasa sedih kerana Stadium Shah Alam menjadi mangsa keadaan akibat kelemahan pengurusan kewangan Kerajaan Negeri Selangor yang gagal menyelenggara fasiliti itu mengikut jadual.
“Stadium Shah Alam ini merupakan bangunan ikon untuk sukan dan ia bukan khusus untuk pemain bola sepak sahaja, bahkan untuk pelbagai guna yang boleh digunakan untuk acara-acara sukan lain.
“Apa yang berlaku hari ini adalah kelemahan dari segi pengurusan kewangan kerajaan negeri. Kalau kita cerita pasal penyelenggaraan, setiap tahun kita tahu berapa bajet yang perlu kita ketepikan untuk kerja-kerja penyelenggaraan.
“Bila keadaan sampai sebegini, hingga bangunan ini tidak boleh digunakan, saya amat begitu sedih dengan pengurusan sebegini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette