Zaini terlantar di katil selepas mengalami patah tangan kanan dan kaki kiri selain cedera di badan dan muka selepas terjatuh daripada motosikal akibat dirempuh seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan di rumahnya di Taman Semabok Perdana, Semabok, Melaka 1 Julai lalu.

MELAKA – Hampir 2,000 penduduk di Taman Semabok Perdana, Semabok meluahkan kebimbangan terhadap masalah anjing liar dan bertuan yang semakin menghantui penghuni di sini sejak lebih dua tahun lalu.

Terbaharu, dalam kejadian 1 Julai lalu, seorang penduduknya patah tangan kanan dan kaki kiri selain cedera di badan dan muka selepas terjatuh daripada motosikal akibat dirempuh seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan.

Mangsa, Zaini Kalid, 53, berkata, ketika kejadian dia sedang dalam perjalanan memberi bantuan kecemasan kepada isterinya yang mengalami kerosakan kereta kira-kira jam 10 malam.

Kecederaan dialami Zaini yang mengalami patah tangan kanan dan kaki kiri selain cedera di badan dan muka selepas terjatuh daripada motosikal akibat dirempuh seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan di rumahnya di Taman Semabok Perdana, Semabok, Melaka 1 Julai lalu.

“Sebaik sahaja keluar dari rumah kira-kira 200 meter dalam taman, seekor anjing dipercayai bertuan tiba-tiba melintas dan merempuh tayar hadapan motosikal menyebabkan saya terpelanting dan terseret di atas jalan.

“Akibatnya, saya terpaksa dikejarkan ke hospital dan pemeriksaaan doktor mengesahkan patah tangan kanan dan kaki kiri selain tangan kiri, badan dan muka turut cedera akibat terseret di jalan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beberapa penduduk Taman Semabok Perdana, Semabok, Melaka meninjau kawasan taman perumahan berkenaan yang berdepan dengan masalah anjing liar.

Sehubungan itu, dia yang merupakan peniaga roti canai menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) segera melakukan pemantauan terhadap pemilik anjing bagi memastikan mereka mempunyai lesen.

“Saya harap PBT dapat pantau setiap rumah dan pastikan anjing yang dipelihara itu mempunyai lesen.

“Kalau tuannya nak lepaskan anjing pun, pastikan mereka ada bersama haiwan itu dan janganlah lepaskan ia dengan alasan untuk melepaskan tekanan tapi orang lain pula yang menjadi mangsa,” katanya.

Izhar Shafawi Idris

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Izhar Shafawi Idris, 40, berkata, kejadian 1 Julai lalu bukanlah yang pertama malah dia sendiri turut pernah menjadi mangsa dikejar anjing.

“Saya sendiri pernah dikejar anjing liar ketika menunggang motosikal namun bernasib baik kerana tidak berlaku kemalangan.

“Selalunya, anjing ini akan berkeliaran antara jam 7 hingga 10 malam sampaikan penduduk taman pun tak berani nak biarkan anak keluar walaupun di luar pagar depan rumah,” katanya.

Rosli Hashim

Pengalaman sama dikongsikan warga emas, Rosli Hashim, 65, yang pernah dikepung tujuh ekor anjing liar ketika hendak menunaikan solat Subuh berjemaah di surau taman berkenaan.

“Mujurlah ketika kejadian, saya sudah hampir sampai ke surau dan sempat berlindung di sebalik dinding kalau tidak tak tahulah apa nasib saya.

“Jadi saya harap, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dapat pantau masalah ini dan segera menangkap anjing-anjing liar ini selain memberi amaran kepada pemilik anjing supaya lebih bertanggungjawab terhadap haiwan peliharaan mereka,” katanya.

Mohd Zaidi Yusof

Bagi Mohd Zaidi Yusof, 51, selain melibatkan keselamatan penduduk, masalah najis anjing liar turut menghantui penduduk.

“Saya harap, MBMB lebih peka dan dapat melakukan rondaan terutama pada sebelah malam dan lihat sendiri bagaimana najis-najis haiwan ini bertaburan di kawasan padang permainan kanak-kanak.

“Sebab itu, kawasan permainan taman ini lengang dan tiada kanak-kanak kerana penduduk bimbang dengan isu keselamatan dan kebersihan,” katanya. – MalaysiaGazette.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast