Asyraf Wajdi Dusuki EPF withdrawal UMNO
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – ”Yang tuntut hampir setiap hari jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) siapa?

”Yang tuntut nak tambah lagi jawatan Menteri walaupun hari ini kabinet sudah melebihi 70 orang termasuk pegawai bertaraf Menteri siapa?

”Yang sentiasa ugut nak tekan ‘button’ siapa?,” demikian soal Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang  membidas kenyataan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal yang menuduh pemimpin UMNO rakus untuk berkuasa.

Secara sinis, Asyraf berkata, Ketua Pemuda Armada BErsatu itu mungkin terlupa sebab terlalu sibuk dengan formula cetak wang untuk selesai masalah ekonomi negara.

Beliau berkata mengulas kenyataan Wan Ahmad Fayhsal menerusi temu bual bersama sebuah portal berita yang menyifatkan segelintir pemimpin UMNO sedang mencetuskan ketidakstabilan politik dalam kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob.

Dalam masa yang sama Asyraf turut mencabar Bersatu untuk mencadangkan Pilihan Raya Umum disegerakan jika jujur mahukan kestabilan.

Ini kerana, kata Asyraf,  tindakan mengugut di antara sesama parti yang merupakan sebahagian daripada kerajaan mengakibatkan ketidakstabilan yang menjejaskan pelaburan.

“Sebab itulah, kalau jujur mahukan kestabilan, lebih baik cadangkan PRU disegerakan.

“Serahkan balik mandat mutlak kepada rakyat! Tiada siapa mahu melabur dalam ekonomi yang ditadbir Kerajaan campuran/hybrid yang di dalamnya sentiasa berlaku ugut-mengugut di kalangan parti-parti yang bersaing,” tambah beliau.- MalaysiaGazette