Ismail Sabri Yaakob menyaksikan pertukaran dokumen kerjasama antara Dr. Azme Khamis manakala Ankara Medipol University diwakili Rektornya, Profesor Dr. Ahmet Zeki Şengil, yang turut mewakili Istanbul Medipol University.

KUALA LUMPUR – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menjalin kerjasama dengan dua universiti di Turkiye melibatkan Istanbul Medipol University (IMU) dan Ankara Medipol University (AMU) khususnya dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) telah diadakan pada 7 Julai 2022 bertempat Presidential Palace, Presidential Complex, Ankara.

MoU itu dibuat ketika berlangsungnya lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Turkiye pada 5 hingga 8 Julai lalu.

UTHM diwakili Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Azme Khamis manakala Ankara Medipol University diwakili Rektornya, Profesor Dr. Ahmet Zeki Şengil, yang turut mewakili Istanbul Medipol University.

Sesi menandatangani perjanjian disaksikan oleh Perdana Menteri dan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan.

UTHM akan bekerjasama dengan IMU dan AMU melibatkan aktiviti seperti penyelidikan dalam bidang saintifik dan teknologi; mobiliti staf akademik, staf pentadbiran dan pelajar; perbincangan, simposium dan ceramah saintifik dan teknologi; perkongsian/pertukaran penemuan akademik, penerbitan dan informasi pendidikan, peluang staf AMU menyambung pengajian peringkat PhD di UTHM dan lain-lain kerjasama yang akan dipersetujui kedua-dua pihak.

UTHM berharap jalinan kerjasama antarabangsa seumpama ini dapat merancakkan lagi pelaksanaan pelbagai aktiviti akademik, penyelidikan dan inovasi serta penerbitan di universiti ini sekali gus menyumbang kepada pembangunan sistem pendidikan negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast