SERI KEMBANGAN – Pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun lalu ternyata tidak menjejaskan hubungan perdagangan di antara Malaysia dan China.
Sebaliknya, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, hubungan dagangan kedua-dua negara telah berkembang secara purata 16 peratus sepanjang dua tahun lepas.
Ini terbukti apabila kedua-dua negara telah mencatat jumlah perdagangan sebanyak RM421 bilion.
“Kita mungkin menjangka hubungan perdagangan antara dua negara telah menurun akibat pandemik Covid-19. Tambahan pula, kebanyakan bandar mengalami sekatan dan ekonomi di seluruh dunia hampir terhenti bagi mengekang penularan wabak,” katanya.
Ucaptama beliau disampaikan oleh Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah sebagai wakil pada Majlis Majlis Makan Malam Sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-48 Hubungan Diplomatik Malaysia-China yang diadakan di Wisma Gabungan Pertubuhan China Malaysia (Huazong).
Ismail yakin, kedua-dua kerajaan akan dapat merapatkan lagi kerjasama dua hala pada pasca pandemik ini dengan prestasi yang cemerlang.
Menurut Ismail Sabri, hubungan ekonomi dengan China bukan sahaja memberikan manfaat dalam aspek kewangan bahkan juga aspek kemahiran dan pengalaman.
“Hubungan ekonomi dengan China telah memberikan peluang yang lebih besar kepada rakyat Malaysia,” tambah beliau.
Katanya lagi, hubungan di antara Malaysia dan China yang kini hampir setengah abad sentiasa mengutamakan dialog, libat urus dan kerjasama sentiasa menjadi tema utama.
Sementara itu, Perdana Menteri berkata, beliau telah memaklumkan hasratnya kepada Menteri Luar Negeri China, Wang Yi untuk mengadakan lawatan rasmi pertama di negara berkenaan.
“Saya difahamkan bahawa Kerajaan China sedang meneliti dan mempertimbangkan cadangan lawatan ini,” katanya lagi.-MalaysiaGazette