Badan khas yang dikenali sebagai Majlis Perundingan India Malaysia (ICC) telah dibentuk untuk mengkaji semula Pelan Tindakan India (PTMI)

KUALA LUMPUR – Sebuah badan khas yang dikenali sebagai Majlis Perundingan India Malaysia (ICC) telah dibentuk untuk mengkaji semula Pelan Tindakan India (PTMI) dengan objektif utamanya memperkasakan usaha pembangunan sosio ekonomi masyarakat ketiga terbesar negara ini.

Usaha ini juga telah diterajui oleh Duta Khas ke India dan Asia Selatan, Tan Sri SA Vigneswaran yang mengumpul pelbagai individu yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas antaranya bidang pendidikan, pekerjaan, dan perniagaan.

“Kita telah mengumpulkan semua bawah satu platform termasuklah ahli akademik, pemain industri dan pemimpin komuniti juga terlibat sama di dalam membawa isu-isu melibatkan komuniti.

“Golongan ini mempunyai pelbagai kepakaran dalam menangani isu-isu komuniti terutamaya dalam golongan B40 seperti membasmi kemiskinan, memberi khidmat kesihatan bermutu tinggi dan meningkatkan sosio ekonomi masyarakat.

“Badan perunding ini juga akan menjemput lebih ramai untuk hadir, kita panggil wakil rakyat seperti Ahli Parlimen, Senator dan ahli politik lain bagi menyertai lebih banyak perbincangan-perbincangan akan datang tidak kira parti atau idealogi.

“Perbincangan bipartisan ini dijangka terus menerajui kemajuan masyarakat India untuk 10 tahun akan datang dan menuju ke arah tahun 2030 dengan berjaya tanpa mengira parti mana yang berkuasa di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan selepas mesyuarat sulungnya semalam.

SA Vigneswaran (dua dari kanan) ketika mempengerusikan mesyuarat sulung ICC semalam.

Kata Vigneswaran, ICC juga berperanan memberi tumpuan secara lebih bersasar mengikut keperluan terkini bagi membantu penggubalan PTMI yang lebih komprehensif agar lebih ramai dapat menerima manfaat secara langsung mahupun tidak langsung.

“Kita mahu memastikan agenda pembangunan sosio ekonomi masyarakat India tidak hanya terhad kepada pengumuman komitmen mahupun pelaksanaan program sedia ada  sebaliknya perlu berteraskan keperluan kontemporari pada hari ini,” katanya.

Untuk makluman, sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 beralih kepada kumpulan B40 manakala isi rumah yang berada dalam kumpulan T20 turut terkesan akibat pandemik Covid-19 yang mana sebanyak 12.8 peratus daripada kumpulan ini beralih kepada kumpulan M40.

“Pelan komprehensif yang lebih spesifik dan teliti akan diatur untuk menangani kemelut ekonomi yang melanda masyarakat kita pada hari ini. Semua pihak termasuklah dalam kalangan pembangkang perlu melibatkan diri dalam perbincangan serta perancangan ini.

“Tolonglah ketepikan sebarang idealogi politik masing-masing sebaliknya kita bersama-sama berganding masyarakat kita bagi kemajuan bersama,” ujarnya. -MalaysiaGazette