Wang Yi (kanan) berjabat tangan dengan Ismail Sabri Yaakob dalam pertemuannya di Putrajaya hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan China terus memberikan keutamaan untuk meningkatkan kerjasama dua hala dengan Malaysia, terutamanya bagi menangani cabaran semasa yang dihadapi kedua-dua negara pada hari ini, seperti inflasi global dan keselamatan makanan.

Komitmen itu dibuat oleh Negara China Wang Yi, Penasihat Negara dan yang juga Menteri Luar China dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata, pertemuan itu merupakan langkah positif ke arah meningkatkan hubungan Malaysia-China.

Perdana Menteri berkata, mereka berbincang dalam suasana mesra selama satu jam, mengenai hubungan dua hala serta kepentingan dalam membangunkan ekonomi digital.

Dalam pertemuan itu, Wang turut menyatakan penghargaan kepada Kerajaan Malaysia di atas peluang yang telah diberikan kepada syarikat-syarikat infrastruktur China untuk terlibat sama dalam projek pembangunan negara.

Antaranya pelaksanaan projek East Coast Rail Link (ECRL) yang mana pihak China berhasrat untuk meneruskan kesinambungan jaringan landasan keretapi yang turut melibatkan Laos dan Thailand.

Perdana Menteri berkata, Kerajaan Malaysia pula mengalu-alukan minat lebih banyak delegasi rasmi dan perniagaan dari China seperti Huawei untuk sama-sama terlibat dalam inisiatif Kerajaan Malaysia.

Selain itu, katanya, Malaysia turut menyuarakan tentang peranan penting yang perlu dimainkan oleh China bagi memastikan keamanan dunia dikekalkan.

”Saya menyuarakan pandangan bahawa setiap konflik yang berlaku wajar diselesaikan di meja rundingan dan bukan melalui peperangan,” kata Ismail Sabri yang turut menyampaikan ucap selamat kepada Presiden Xi Jinping dan Premier Li Keqiang.
melalui Wang.

Tambah Ismail Sabri, beliau juga menyuarakan hasrat untuk mengadakan lawatan rasmi ke Beijing dalam masa terdekat dan melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden dan Premier China. – MalaysiaGazette