Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid (dua kanan) bersama Pengasas dan Penasihat Utama MyFundAction, Dr. Mohd Hizul Azri Md Noor (kiri) melapah daging korban sebagai gimik pelancaran Program Ibadah Korban PDRM anjuran bersama MyFundAction di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan dalam Program Ibadah Korban Masjid Bukit Aman anjuran bersama Yayasan Kebajikan Muslim (MyFunAction) di Masjid Bukit Aman hari ini.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain hadir menyempurnakan majis berkenaan dan mengagihkan daging lembu.

“Saya difahamkan sebanyak 15 ekor lembu dikorbankan dalam program ini, yang mana dagingnya akan diagihkan kepada rumah anak-anak yatim, para petugas program dan warga polis khususnya di Bukit Aman dan semua Ibu Pejabat Polis Daerah di Kuala Lumpur.

“Hal ini amat bertepatan dengan hikmah di sebalik pensyariatan ibadah korban iaitu dapat mengeratkan silaturahim di samping memupuk sikap timbang rasa dan prihatin terhadap masyarakat melalui pengagihan daging-daging korban kepada mereka yang berhak menerimanya khususnya golongan yang memerlukan.

“Lebih membanggakan, kerja-kerja menyembelih, melapah sehinggalah memasak daging korban pada hari ini telah disempurnakan oleh anak-anak muda sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi serta ahli gabungan MyFundAction selain warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sendiri,” katanya ketika berucap pada majlis yang sama.

Program Korban Bukit Aman dihadiri oleh lebih kurang 320 peserta yang terdiri daripada 230 orang anggota PDRM dan 90 orang belia bawah bimbingan MyFundAction.

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain @ Abd Rasid (dua kiri) diiringi Pengasas dan Penasihat Utama MyFundAction, Dr. Mohd Hizul Azri Md Noor (kiri) menyerahkan daging korban kepada Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya (kanan) pada Program Ibadah Korban PDRM anjuran bersama MyFundAction di Masjid Bukit Aman, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 12 JULAI 2022.

Tambah Razarudin, penglibatan golongan muda dalam program seumpama itu dapat memupuk sifat ringan tulang serta bersosial dalam konteks yang positif.

“Justeru, pembentukan generasi pelapis yang berkualiti, memerlukan acuan yang tepat serta seimbang bukan sahaja dari aspek kemampuan intelektual semata-mata, tetapi juga pemantapan akhlak, sahsiah dan rohani,” ujarnya.

Jelas beliau, pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang tawaran kolaborasi kreatif dan strategik daripada mana-mana badan bukan kerajaan, sektor swasta dan badan korporat.

Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction Muhammad Afiq Mohamad Nazari pula berkata, pihaknya menyumbangkan sebanyak 10 ekor lembu manakala lima ekor lembu disumbankan pasukan polis untuk diagihkan kepada warga kerja polis dan asnaf terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Muhammad Afiq Mohmad Nazari. Foto HAZROL ZAINAL, 12 JULAI 2022.

“MyFundAction bersama rakan kolaborasi Masjid Bukit Aman dan PDRM hari ini telah menganjurkan Program Ibadah Korban serta edaran daging lembu kepada enam Ibu Pejabat Daerah (IPD), Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) dan Trafik Kontinjen Kuala Lumpur.

“Kolaborasi ini merupakan kali kedua selepas Ramadan lalu bertujuan bagi memupuk semangat saling berkongsi rezeki dalam pelbagai bentuk melalui pemberian daging korban serta memupuk semangat kerjasama antara golongan belia dan PDRM di samping dapat menjalinkan hubungan yang baik dengan warga IPD,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Afiq berkata, program berkenaan dilaksanakan bagi menghargai jasa warga Polis Diraja Malaysia  dalam melindungi ketenteraman awam.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 148 ekor lembu dikorbankan dan diagihkan di Kota Tinggi, Johor.

“16 ekor akan diedar mentah dan baki 132 ekor akan dimasak serta dipekkan ke dalam pek sedia dimakan bagi jaminan makanan yang lebih lama,” katanya.

Bagi cawangan di luar negara, MyFundAction akan menyembelih 19 ekor lembu di benua afrika, 25 ekor kambing di Mesir, 20 ekor biri-biri di Jordan, tujuh ekor biri-biri di Turki, dua ekor biri-biri dan seekor unta di Palestin.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast