Hasnah salah seorang daripada 900 pembeli pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong yang belum dapat duduk di rumah yang dibelinya sejak 12 tahun lalu.

JOHOR BAHRU – Hasrat lebih 12 tahun kira-kira 900 pembeli rumah Pangsapuri Taman Seri Molek Perdana, Plentong di sini terus dihimpit rasa kecewa apabila rumah yang dibina sejak 2010 masih gagal didiami mereka.

Salah seorang pembelinya, Hasnah Hussin, 53, berkata, lebih mengecewakan hampir sembilan tahun beliau masih membayar pinjaman perumahan kepada pihak bank dengan kadar RM270 sebulan tanpa gagal.

Bayaran yang dianggap tidak berbaloi itu bagaimanapun harus ditunaikan bagi mengelak daripada dia dikenakan tindakan undang-undang.

Beliau kini terpaksa menyewa di pangsapuri lain sekitar Johor Bahru dengan kadar sewaan RM1,200 sebulan kerana rumah yang dibeli belum mendapat kunci.

Rumah idaman lebih 900 pembeli Pangsapuri Taman Molek yang berbelas tahun masih lagi belum boleh diduduki pembelinya .

“Marah kecewa semua ada saya terpaksa sewa rumah lain dengan keadaan ekonomi kita tidak tentu, barang mahal baik-baik kita boleh berjimat tapi kita terpaksa bayar.

“Sepanjang hampir lapan tahun saya terpaksa menyewa rumah lain, sudah dua kali saya berpindah rumah sewa namun rumah yang sepatutnya saya duduk tidak diserahkan kunci.

“Jika kediaman saya ini sudah boleh diduduki, saya boleh berjimat dan menggunakannya untuk tujuan lain, sehinggakan anak saya sendiri tidak dapat menyambung pengajian kerana kekangan kewangan.

“Banyak kali saya telefon pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), tanya bila mahu berikan kunci rumah untuk diduduki. Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mereka memberitahu lif belum sampai.

“Baru-baru ini mereka memaklumkan lif sudah dipasang dan sedang tambahbaik sedikit lagi.

“Sedikit itu sampai bila? Adakah kami perlu tunggu lagi 13 tahun. Saya mahu kunci rumah diserahkan segera, kos hidup makin tinggi, jika duduk dirumah sendiri dan tidak menyewa, banyak perkata kami boleh berjimat,” katanya ketika ditemui hari ini.

Hasnah berharap keluhannya akan mendapat perhatian daripada kerajaan negeri terutama daripada Menteri Besar Johor.

“Saya sudah hilang punca.Saya harap Datuk Onn Hafiz dan exco terlibat bantulah kami. Pada siapa lagi kami nak berharap kalau bukan dengan merrka yang mempunyai kuasa.

“Saya mewakili pembeli kediaman ini sudah penat dan tidak tahu hendak mengadukan masalah ini dengan siapa lagi, pihak kerajaan negeri sudah, kerajaan pusat sudah, wakil rakyat pun sudah. Sudah bertukat kerajaan sampai sekarang masih sama. Kasihanlah pada kami.

“Harapan saya juga ketika ini mendapat perhatian Sultan Johor dan juga Tunku Mahkota Johor (Pemangku Raja Johor), semoga ada jalan penyelesaian dan penduduk dapat kunci dengan segera,” katanya.

Sementara itu, wakil pertubuhan bukan kerajaan, Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M), Idaham Jalani memohon pihak kerajaan terutama SPNB untuk menyelesaikan isu yang tertangguh begitu lama.

Difahamkan perumahan itu hanya tinggal kurang daripada 20 peratus untuk disiapkan namun sehingga kini penduduk masih menunggu untuk mendapatkan kunci kediaman mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd. Jafni Md. Shukor memberitahu, SPNB memaklumkan fasa dua projek melibatkan Blok A, B dan C pangsapuri itu sepatutnya diserahkan Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada 31 Disember tahun lepas.

Namun mengalami kelewatan serahan kunci akibat urusan dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

“Seramai 432 pembeli dijangka menerima kunci mereka pada bulan depan. Manakala bagi fasa tiga iaitu Blok D dan E, seramai 215 pembeli dijangka menerima kunci kediaman masing-masing pada Disember tahun ini.

“Fasa pertama projek berkenaan iaitu Blok F sudah memperoleh CCC pada tahun 2020,” katanya ketika dihubungi.-MalaysiaGazette