The Kuala Lumpur Court Complex Bella Siti Bainun Rumah Bonda abuse neglect Down Syndrome Securities Commission Malaysia SC Investment banker Charles Chua Yi Fuan
Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur di Jalan Duta

KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia dan empat pihak lain telah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di sini yang memberikan ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada seorang pemuda yang terpotong kepala alat sulitnya ketika berkhatan 12 tahun lepas.

Selain kerajaan, empat pihak tersebut ialah pegawai perubatan dan pengarah Hospital Kuala Lipis di Pahang serta doktor pakar dan pengarah Hospital Selayang di Selangor.

Peguam Persekutuan Saravanan Kuppusamy ketika dihubungi hari ini berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah memfailkan rayuan berhubung keputusan itu di Mahkamah Rayuan pada 27 April lepas.

“Kes ditetapkan untuk pengurusan kes secara e-Review di hadapan timbalan pendaftar Mahkamah Rayuan pada 27 Julai ini,” katanya.

Pada 7 April lepas, Hakim Datuk Akhtar Tahir memberikan ganti rugi berjumlah RM3.1 juta kepada pemuda berusia 22 tahun itu selepas membenarkan samannya terhadap kelima-lima defendan berkenaan.

Hakim Akhtar ketika membuat keputusan itu memutuskan bahawa kesemua defendan telah melakukan kecuaian terhadap keadaan yang dialami oleh pemuda itu selaku plaintif.

Dalam penghakiman bertulis yang dikeluarkan pada 27 Mei lepas, hakim itu berkata kelewatan kakitangan perubatan merawat kecederaan lelaki itu telah melenyapkan harapan untuk menyelamatkan alat sulitnya.

Lelaki itu, yang memfailkan saman pada 19 Julai 2018 melalui ibunya, mendakwa proses bersunat pada 13 Dis 2010 ke atasnya tidak dilakukan mengikut prosedur ditetapkan sehingga menyebabkan seluruh kepala zakar terpotong.

Akibat kecacatan kekal itu, ibu mangsa mendakwa anaknya yang ketika kejadian berusia 10 tahun telah berubah sikap menjadi amat pendiam dan tidak suka berkawan dengan rakan sebaya.

— BERNAMA