Sebanyak 461 anjing liar telah ditangkap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini bagi mengatasi masalah kacau ganggu kepada penduduk setempat.

MELAKA – Sebanyak 461 anjing liar ditangkap Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini selain 300 lagi diberikan notis setelah disyaki memelihara haiwan tanpa lesen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Mohd. Noor Helmy Abdul Halem berkata, antara kawasan yang menerima aduan tertinggi adalah di Duyong adalah Taman Seri Duyong, Taman Desa Duyong, Taman Semabok Perdana dan Padang Semabok.

Menurutnya, masalah anjing liar bagaimanapun masih terus berlaku disebabkan sikap segelintir penduduk sendiri yang tidak membantu MBMB menyelesaikan itu berkenaan menyebabkan ia terus berlaku.

“Apa yang berlaku, bila kita berjaya tangkap anjing dari perangkap yang dipasang, ia kemudian dilepaskan penduduk atau pencinta haiwan sendiri menyebabkan operasi itu gagal.

“Inilah antara masalah yang kita hadapi walaupun dalam masa sama MBMB juga bekerjasama dengan persatuan pencinta haiwan ini untuk bersama-sama mencari jalan penyelesaian,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette, di sini, hari ini.

Isnin lalu, MalaysiaGazette melaporkan hampir 2,000 penduduk di Taman Semabok Perdana, Semabok meluahkan kebimbangan terhadap masalah anjing liar dan bertuan yang semakin menghantui penghuni di sini sejak lebih dua tahun lalu.

Mohd Noor Helmy melihat keadaan Zaini Kalid yang patah tangan kanan dan kaki kiri selain cedera di badan dan muka selepas terjatuh daripada motosikal akibat dirempuh seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan di Taman Semabok Perdana, Semabok, Melaka pada 1 Julai lalu.

Terbaharu, dalam kejadian 1 Julai lalu, seorang penduduknya patah tangan kanan dan kaki kiri selain cedera di badan dan muka selepas terjatuh daripada motosikal akibat dirempuh seekor anjing yang tiba-tiba melintas jalan.

Mengulas lanjut, Mohd Noor yang juga bekas Ahli Majlis MBMB berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sudah mengeluarkan 300 notis terhadap penduduk Taman Semabok Perdana yang dipercayai memelihara anjing tanpa lesen kelmarin.

“Notis ini memberi tempoh 14 hari kepada pemilik untuk membuat permohonan lesen bagi memelihara anjing berkenaan kerana sebenarnya untuk kawasan taman perumahan, hanya rumah paling tepi sahaja dibenarkan ada lesen memelihara anjing.

“Kawasan rumah tengah memang tidak dibenarkan dan sekiranya ingkar tindakan boleh diambil di bawah Undang-undang Kecil (UUK) Pelesenan Anjing,” katanya.

Sabit kesalahan katanya, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya sekali. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast