KUALA LUMPUR – Polis sedang menjalankan siasatan terhadap seorang pemimpin tertinggi UMNO yang didakwa mengeluarkan kenyataan yang mengecewakan hati dan menghina masyarakat Hindu di negara ini.
Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata demikian selepas mengesahkan tentang satu laporan polis pada petang tadi yang mendesak pihaknya melakukan siasatan dan mengambil tindakan ke atas pemimpin nombor dua UMNO.
“Ya, kita ada menerima satu laporan polis berkenaan kenyataan dikeluarkan oleh seorang pemimpin tertinggi dalam UMNO didakwa menyakiti hati penganut Hindu.
“Kes berkenaan akan disiasat di bawah Seksyen 505c Kanun Keseksaan iaitu kerana mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum lain.
“Kita juga akan siasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sebentar tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Tok Mat gores hati komuniti India – Gobi Krishnan
Terdahulu, pada jam 3 petang Ketua Penerangan Nasional Sayap bersekutu Bersatu S Gobi Krishnan bersama beberapa ahli partinya hadir ke Ibu Pejabat Polis Daearh Sentul dan membuat laporan polis terhadap pemimpin tersebut iaitu Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.
Bercakap kemudian kepada pemberita di luar premis berkenaan, beliau berkata laporan polis itu dibuat selepas pemimpin DUN Rantau itu tidak meminta maaf dalam 24 jam yang ditetapkan pihaknya.
Tambah Gobi berkata, kenyataan Tok Mat yang menyifatkan kavadi sebagai bebanan ternyata telah menyakiti hati masyarakat Hindu.
“Jika tiada tindakan diambil terhadap pemimpin berkenaan, sayap bersekutu itu akan berarak ke pejabatnya UMNO di Menara Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Mohamad dalam satu wawancara bersama media asing didakwa telah merujuk kepada kavadi sebagai ‘beban’ dalam menggambarkan kekalahan Umno pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu.
Menurut Gobi, kavadi dibawa oleh penganut Hindu semasa sambutan Thaipusam sebagai membayar nazar mereka sebagai tanda berterima kasih kepada Dewa Murugan dan ia bukan dan tidak menjadi bebanan sekaligus menyifatkan kenyataan pemimpin itu menyakitkan masyarakat itu.- MalaysiaGazette
Beginilah kalau ada benci didalam hati.
Simpati dituduh benci . Kasihan dituduh kesalahan . Tok Mat kata Kavadi tu berat sepatutnya bukan penghinaan . Tok Mat pandang dengan mata biasa . Dia tak guna mata satu lagi itu. Iaitu Penderaan untok hapuskan dosa .