Siti Aishah Shaik Ismail

KUALA LUMPUR – Bekas Senator Dewan Negara, Siti Aishah Shaik Ismail telah selesai dirakam keterangan pada hari ini di Bukit Aman berhubung satu klip videonya yang didakwa mengkritik kerajaan berhubung isu pemansuhan subsidi.

Menurutnya, siasatan polis terhadapnya telah diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA).

“Ini kerana terdapat satu lagi kertas siasatan yang dibuka dan disiasat oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) berkenaan isu video viral yang sama,” katanya dalam satu kenyataan.

Siti Aishah berkata, perkara itu hanya dimaklumkan kepadanya selepas pihak polis selesai merakam percakapannya di Bukit Aman, pada jam lebih kurang 10.30 pagi tadi.

“Rakaman percakapan ini adalah bertujuan untuk membantu siasatan berkenaan satu laporan polis yang dibuat terhadap saya pada 24 Jun yang lalu membabitkan satu hantaran di Facebook yang memuat naik video tiktok saya yang viral tempoh hari.

Tambahnya, proses rakam percakapan selama 10 minit oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bahagian Pendakwaan/Undang-undang (D5), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu berjalan lancar,” tambahnya.

Siti Aishah berkata, dia telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan berjalan selepas tiba di Bukit Aman sekitar jam 10.40 pagi tadi bersama peguamnya Adly Zulfadhly Zulkefly.

Pada 27 Jun lalu, polis telah menyerbu kediamannya dan merampas telefon bimbit sebagai bahan bukti sebelum dibawa dengan diiringi polis ke Balai Polis Sungai Senam, Ipoh Perak untuk siasatan lanjut.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast