Sebahagian jemaah haji yang bakal berlepas ke Tanah Suci Mekah Pada Majlis Pelepasan Kumpulan Pertama Jemaah Haji di Pusat Konvensyen Movenpick KLIA, Sepang. Foto MUHD NA'IM, 04 JUNE 2022.

KUALA LUMPUR – Persatuan Solidariti Pengembaraan Dan Agensi Pelancongan Malaysia (SAFTTA) menyarankan supaya Lembaga Tabung Haji mewujudkan pusingan giliran engelola Jemaah Haji (PJH) kepada agensi-agensi pelancongan.

Ini kerana, ada beberapa agensi pelancongan yang dilihat tidak pernah ditukar semenjak PJH ini diperkenalkan.

Ekoran itu timbul persoalan adakah hanya 22 syarikat itu sahaja yang mempunyai kelayakan untuk menyantuni jemaah haji?

Dan daripada 22 syarikat PJH ini berapa pula agaknya agensi pelancongan yang dimiliki oleh agensi milik kerajaan (GLC), soal Presiden SAFTTA, Dr Fathir Badri Alhadad.

Tanya beliau lagi mengapa PJH perlu dihadkan kepada hanya 22 syarikat sahaja sedangkan semua sedia maklum yang Tabung Haji sendiri menyatakan tidak mampu untuk menguruskannya sendiri disebabkan kekangan tertentu.

”Sebagai contoh, pada tahun ini kerajaan Arab Saudi telah memberikan kuota tambahan sebanyak 5,000 kepada Malaysia untuk diuruskan oleh Tabung Haji, tetapi pihak TH hanya menggunakan tidak melebihi 2,500 sahaja daripada kuota tersebut.

”Mengapa perkara ini boleh berlaku? Sedangkan yang menunggu giliran untuk menunaikan haji adalah begitu ramai. Jika alasannya TH tidak bersedia dari segi logistik, kenapa tidak dibuka kepada lebih banyak agensi pelancongan untuk menguruskannya?

”Dengan cara ini mungkin keadaan seperti ‘tidak dapat visa’ tidak akan berlaku. Inilah kelemahan monopoli!,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sehubungan itu SAFTTA menyarankan TH mengadakan perbincangan secara jujur dan terbuka bersama
persatuan-persatuan pelancongan untuk memberikan pandangan bagi membantunya menambah baik fungsi TH itu sendiri.

Lagipun, katanya, sekarang bukanlah masanya ‘kerajaan yang tahu segalanya’ atau ‘government knows best’ seperti dahulu.

Mengulas isu yang sama, Fathir mendakwa, pada tahun ini Visa Furada tidak dikeluarkan oleh Kedutaan Arab Saudi sebaliknya hanya mengeluarkan Visa Haji Mujamallah untuk Malaysia.

Ini bermaksud agensi pelancongan yang mendapat Visa Mujamallah ini perlu mengeluarkan belanja yang lebih kerana mereka perlu mendapatkan pakej ‘ground’ melalui aplikasi yang disediakan oleh Kementerian Haji Arab Saudi.

Pekej ini adalah wajib diambil walaupun pihak agensi pelancongan telah mempunyai pakej ground mereka sendiri sebelum ini.

”Ada antara ahli SAFTTA yang membawa jemaah haji menggunakan Visa Mujamallah pada musim haji kali ini dan nampaknya tiada sebarang masalah yang timbul setakat hari ini,” ujarnya.

Jelasnya, pihak Kedutaan Arab Saudi juga telah menghadkan pengeluaran Visa Mujamallah pada tahun ini kerana ia perlu berhati-hati untuk mengelakkan merebaknya penularan wabak Covid-19 semasa musim haji.

Katanya, SAFTTA juga bersetuju dengan kenyataan Majlis Pelancongan Malaysia (MTC) yang menyatakan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) tidak boleh dipersalahkan dalam isu haji ini kerana jelas ia diletakkan bawah Akta Tabung Haji.

Dengan ini, MOTAC tidak bertanggungjawab dalam isu haji tetapi sebaliknya ia perlu dipikul oleh Jabatan Perdana Menteri (Agama) dengan sebaiknya.

Dalam menangani isu penipuan haji, Fathir berkata, kempen kesedaran berterusan perlu diberikan kepada bakal jemaah agar
mereka tidak terpedaya dengan tawaran murah untuk mengerjakan haji menggunakan Visa Mujamallah mahupun Furada.

Malah, agensi pelancongan yang mengambil kesempatan juga perlu diberikan hukuman maksimum supaya perkara sama tidak berulang lagi saban tahun.

Pada masa sama TH juga perlu memberikan lebih ruang kepada agensi pelancongan untuk menguruskan jemaah haji di masa akan datang dan tidak hanya tertumpu kepada agensi pelancongan yang sama sahaja. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast