Sidang media sejurus pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Pahang Fasa 3 Pakej 3 di Kuala Pahang, Pekan hari ini

PEKAN – Sebanyak 12 projek Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) berjumlah RM2.13 bilion di Pahang yang telah diluluskan dan ia sedang dilaksanakan.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perancangan projek itu bertujuan mengurangkan risiko banjir, pengawalan hakisan pantai, pemuliharaan muara sungai dan pembangunan sungai di negeri Pahang di bawah RMKe-12.

“Sebanyak tujuh projek berkait pemuliharaan muara dan pengawalan hakisan pantai dengan kos berjumlah RM787.65 juta.

Datuk Seri Tuan Inbrahim Tuan Man

“Sebagai tambahan, KASA juga telah memohon 27 lagi projek baharu untuk dilaksanakan di bawah Rolling Plan Ketiga RMKe-12 bagi seluruh Negeri Pahang,” katanya selepas majlis pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Pahang Fasa 3 Pakej 3, di sini, hari ini.

Selain itu katanya, KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sedang melaksanakan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Pahang telah memperuntukkan RM700 juta dalam usaha menangani masalah mendapan muara sungai itu.

Tambah Tuan Ibrahim, projek itu sedang dilaksanakan secara berfasa dengan kaedah reka dan bina bermula daripada RMKe-9 lagi melibatkan Fasa 1 dan Fasa 2 telah siap pada Mac 2013.

“Manakala bagi Pakej 1 dan 2 di bawah Fasa 3 juga telah siap pada Julai 2018 dan Pakej 3 di bawah Fasa 3 bernilai RM380 juta telah bermula pada 22 Jun 2022 dan dijangka siap dalam tempoh 5 tahun menjelang Jun 2027.

“Pelaksanaan projek ini akan memberi manfaat kepada lebih 700 nelayan dan melindungi lebih 200 buah bot berdaftar daripada rosak akibat muara yang cetek dan pukulan ombak,” ujarnya.

Katanya, projek ini turut memberi limpahan manfaat kepada 31,800 orang penduduk Kampung Tanjung dan Bandar Pekan daripada risiko banjir pantai.

KASA peruntuk RM5.7 juta atasi masalah bekalan air Bukit Kuin

Episod 35 tahun penduduk Bukit Kuin angkut air berakhir

Dalam pada itu, beliau memberitahu, KASA bersetuju dengan permohonan kerajaan negeri ini bagi menaiktaraf Empangan Kobat yang menelan belanja kos sebanyak hampir RM200 juta. – MalaysiaGazette