Afdlin Shauki

KUALA LUMPUR – Pengarah dan pelawak, Datuk Afdlin Shauki menarik sokongan terhadap Crackhouse Comedy Club yang menjadi pentas kepada pendatang baharu komediri untuk mengasah bakat.

Afdlin berkata, beliau mula berasa jijik terhadap kelab tersebut selepas menerima infomasi terkini daripada rakan-rakannya.

“Berdasarkan info-info yang terkini yang telah di beri kepada saya oleh rakan-rakan dan seperti mana yang saya terangkan semalam di live bersama Amin Idris, saya dengan sekeras-kerasnya terus mengecam apa-apa perbuatan menghina agama di pentas lawak.

“Walaupun hanya segelintir, jika ianya berterusan akan menjadi barah.

“Perbuatan-perbuatan seperti di atas yang dibanggakan membuat saya rasa jijik dan saya tak boleh lagi memberi sokongan kepada Crackhouse Comedy Club!” kata Afdlin.

Beliau sebelum ini menjadi sasaran netizen selepas membangkang sekeras-kerasnya penutupan sementara Crackhouse Comedy Club hanya disebabkan perbuatan seorang wanita.

Katanya, kelab tersebut merupakan tempat kepada pelapis pelawak mempelajari seni komediri.

Jelas Afdlin, sokongannya sebelum ini hanya bertujuan untuk kesinambungan rezeki pelawak yang kebanyakan mempunyai humor yang berkualiti dan tidak menghina sesiapa.

“Sekarang ni nasihat saya pada pelawak-pelawak stendap cari dahulu tempat alternatif untuk mencari rezeki pasal benda ni takkan settel awal dan seharusnya kita biarkan pihak berkuasa buat kerja mereka dan jika mereka di sabit kesalahan mereka mestilah menerima pembalasannya.

“Abang mendoakan agar adik-adik pelawak yang terkesan sentiasa di lindungi sewaktu dugaan ini dan rezeki korang terus murah.

“Kita hanya boleh berjuang berdasarkan informasi yang di terima dan pada ketika ini, informasi ni membuat abang tak boleh lagi menyokong agar Crackhouse terus di buka. Sekian,” katanya.

Dalam hantaran di Facebook, Afdlin turut berkongsi foto seorang lelaki menerima satu tin minuman dipercayai arak daripada seorang wanita bertudung.

Crackhouse Comedy Club menjadi tumpuan selepas seorang wanita bernama Siti Nuramira Abdullah membuat persembahan komediri yang didakwa menghina Islam.

Dalam persembahannya, wanita itu mendakwa beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung dan tudung dipakainya, mendedahkan pakaian tidak menutup aurat yang dipakai di dalamnya.

Wanita itu dan teman lelakinya yang berkongsi klip video tersebut telah dihadapkan ke mahkamah semalam untuk dibicarakan.-MalaysiaGazette