ALOR GAJAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Melaka dan Negeri Sembilan menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang tekong di perairan Tanjung Tuan, di sini, pada awal pagi tadi.
Pengarah Maritim Melaka dan Negeri Sembilan, Kapten Maritim Iskandar Ishak berkata, kesemua PATI berusia antara 21 hingga 46 tahun termasuk tekong berusia 31 tahun itu ditahan jam 12 tengah malam kerana cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan menggunakan sebuah bot gentian kaca tanpa pendaftaran.
Menurut beliau, penahanan dibuat pada kedudukan 2.9 batu nautika barat Tanjung Tuan selepas pihaknya menerima maklumat dari radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA).
“Pemeriksaan di dalam bot gentian kaca berwarna biru tanpa nombor pendaftaran itu kemudian menjumpai lima lelaki yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
“Hasil siasatan awal, mereka mendakwa masuk ke negara untuk berjumpa rakan selain pemeriksaan turut menjumpai beberapa barang keperluan peribadi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, kesemua mereka disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Pihak Maritim sentiasa meningkatkan operasi penguatkuasaan bagi membanteras dan menyekat aktiviti jenayah rentas sempadan selain turut meminta orang ramai untuk membantu menyalurkan sebarang maklumat,” katanya.