KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) mempersoalkan tindakan Pas yang dilihat bersungguh-sungguh mempertahankan UMNO susulan kenyataan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berhubung kedudukan PKR dalam kerajaan Madani.
Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata, kenyataan Tuan Ibrahim yang mendakwa PKR menumpang kekuatan UMNO menimbulkan persoalan mengenai peranan Pas dalam pertikaian antara kedua-dua parti itu.
“Saya sedikit pelik membaca kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man yang begitu bersungguh-sungguh mempertahankan UMNO sehingga mendakwa PKR menumpang kekuatan UMNO.
“Sejak bila Pas dilantik menjadi jurucakap UMNO? Atau sekarang Pas merasakan mereka lebih besar daripada UMNO sehingga boleh bercakap bagi pihak UMNO?” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tuan Ibrahim berkata, Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak wajar memberi kata dua kepada UMNO untuk memilih sama ada kekal bersama Kerajaan Madani atau beralih menyokong Perikatan Nasional (PN) kerana parti itu sendiri dilihat menumpang kekuatan UMNO.
Menurutnya lagi, PKR sepatutnya melihat kedudukan serta jumlah kerusi yang dimiliki parti berkenaan berbanding UMNO sebelum mengeluarkan kenyataan berbentuk amaran terhadap rakan dalam kerajaan.
Mengulas perkara itu, Danish berkata, jika jumlah kerusi Parlimen dijadikan ukuran kekuatan sesebuah parti, PKR sebenarnya masih mempunyai lebih banyak kerusi berbanding UMNO.
“Dalam PRU15, PKR menang 31 kerusi Parlimen, manakala UMNO menang 26 kerusi. Selepas tiga Ahli Parlimen PKR mengosongkan kerusi, PKR masih mempunyai 28 Ahli Parlimen. UMNO pula 26.
“Jadi kalau matematik kerusi yang mahu dijadikan ukuran, PKR masih lebih banyak daripada UMNO,” ujarnya.
Danish pada masa sama menyifatkan kenyataan Tuan Ibrahim sebagai bercanggah dengan pendirian beliau sendiri sebelum ini mengenai hubungan Pas dan UMNO.
Katanya, baru beberapa minggu lalu Tuan Ibrahim mengingatkan dalam rundingan Pas-UMNO supaya tidak wujud konsep ‘abang besar’ atau ‘adik kecil’, sebaliknya semua pihak perlu dianggap setara.
“Lebih lucu, baru beberapa minggu lalu Tuan Ibrahim sendiri mengingatkan dalam rundingan Pas-UMNO supaya jangan ada konsep abang besar atau adik kecil dan semua pihak perlu dianggap setara.
“Hari ini lain pula ceritanya. Bila mahu kerjasama dengan UMNO, katanya jangan ada abang besar. Bila mahu serang PKR, tiba-tiba UMNO pula jadi abang besar.
“Politik Pas ini ikut prinsip atau ikut musim?” soalnya.
Dalam pada itu, Danish menasihatkan supaya sebarang perselisihan antara UMNO dan PKR diselesaikan atau disuarakan sendiri oleh pimpinan UMNO tanpa perlu Pas tampil sebagai pembela parti berkenaan.
“Jika UMNO ada masalah dengan PKR, biarlah pimpinan UMNO sendiri bercakap. Mereka ada Presiden, Timbalan Presiden, Ketua Pemuda dan Ketua Penerangan.
“UMNO belum sampai tahap memerlukan Pas menjadi jurucakap tidak rasmi mereka,” tegasnya. -MalaysiaGazette
















