Alwani Sofia Abdullah

KOTA BHARU – Puteri UMNO Kelantan menolak sebarang bentuk kenyataan mahupun persembahan yang berunsur penghinaan dan merendahkan agama Islam serta kaum.

Naib Ketuanya, Alwani Sofia Abdullah menegaskan, sayap parti itu sama sekali tidak akan berkompromi, malah menentang sekeras-kerasanya jika agama Islam dan bangsa Melayu dihina walaupun dalam bentuk lawak.

Justeru, beliau mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agama mengambil tindakan lebih tegas termasuk menutup premis yang dijadikan platform oleh golongan tertentu untuk menghina Islam dan bangsa Melayu.

Beliau kecewa dengan kejadian di sebuah kelab hiburan berasaskan komedi di ibu kota baru-baru ini, yang dijadikan oleh orang muslim untuk menghina agama sendiri.

“Saya beri peringatan kepada sesiapa sahaja bahawa agama, budaya serta bangsa bukan boleh dijadikan bahan lawak dan diperbodohkan. Jangan adatkan atau biasakan diri untuk menghina agama dan bangsa sendiri walaupun berseloroh.

“Inilah yang berlaku ke atas seorang perempuan Melayu beragama Islam. Mengaku menghafal 15 juzuk al Quran, tetapi maruah dirinya sangat rendah apabila menanggalkan satu persatu pakaiannya di khalayak.

“Selepas itu berasa bangga apabila hadirin sorak dan tepuk tangan, konon lawaknya berjaya menghiburkan penonton,” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.

Beliau yang juga Ketua Puteri UMNO Bahagian Rantau Panjang berkata, seorang wanita perlu tahu sifat malu itu adalah iman bagi kaum hawa dan perlu dijaga walaupun nyawa dihujung halkum.

Oleh itu, tegasnya, Pihak Berkuasa Tempatan dan pihak berkuasa agama wajar menutup Crackhouse Comedy Club kerana fungsinya tidak memberi manfaat langsung kepada masyarakat, malah lebih kepada tempat melakukan dosa dan maksiat.

“Kelab ini juga, dengan orang-orang tertentu mengambil bahagian, boleh mencemarkan nama pelawak berkualiti di Malaysia.

“Tutup saja kelab seperti ini. Negara kita Malaysia berpaksikan kepada Islam sebagai agama persekutuan dengan tidak menghalang agama lain diamalkan selagi tidak mengganggu gugat orang Islam.

“Kepada pelawak, influencer, instafamous atau sesiapa sahaja yang setaraf dengan perempuan itu, cukuplah membuat persembahan bodoh serta tidak matang semata mata meraih pengikut dan perhatian masyarakat,” katanya. – MalaysiaGazette