MELAKA – Drama simpati wanita merayu seorang penguatkuasa supaya membenarkan kekasihnya yang dikesan positif ganja menghantarnya pulang ke rumah 40 kilometer dari lokasinya mereka ditahan gagal ‘menjerat’ pegawai pihak berkuasa dalam satu operasi di sini, malam tadi.
Pasangan berusia lingkungan 30-an itu ditahan dalam sekatan Op Motosikal sempena Hari Raya Adiladha (HRAA) 2022 di Jalan Syed Abdul Aziz di sini, kira-kira jam 9.20 malam.
Operasi bersepadu itu yang melibatkan 58 pegawai dan anggota diketuai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Terdahulu, kedua-dua mereka ditahan dan hasil ujian saringan air kencing mendapati teman lelaki wanita berkenaan yang berusia 28 tahun itu positif dadah jenis ganja.
Sebaik ditahan, wanita berkenaan dilihat gelisah sebelum beberapa kali cuba menjelaskan dan merayu kepada penguatkuasa AADK supaya membenarkan teman lelakinya itu menghantar beliau pulang terlebih dahulu di Masjid Tanah, kira-kira 40 kilometer dari lokasi ditahan.
Bagaimanapun selepas menyedari permintaannya itu gagal ‘menjerat’ pihak berkuasa, wanita terbabit dilihat cuba menjelaskan situasi itu kepada wartawan namun aduan itu sekadar didengari dan wanita terbabit dilihat terus berada di lokasi sehingga operasi tamat pada jam 12 tengah malam.
Sementara itu, Pengarah JPJ negeri, Muhammad Firdaus Shariff berkata, sebanyak 920 kenderaan telah diperiksa dan 332 daripadanya telah diambil tindakan oleh anggota penguat kuasa JPJ atas pelbagai kesalahan dalam operasi itu.
“Kali ini, kita memberi tumpuan kepada sembilan kesalahan utama yang selalu berlaku dan menjadi punca kemalangan iaitu tidak mematuhi syarat lalu lintas, langgar lampu isyarat merah dan memandu melebihi had laju.
“Kesalahan lain turut dikesan adalah memandu di lorong kecemasan, memotong barisan, tidak memakai tali pinggang keledar dan membawa lebih muatan,” katanya pada sidang media selepas operasi tamat malam tadi.
Tambahnya, selain JPJ, PDRM turut mengeluarkan 43 saman lalu lintas manakala AADK menahan enam pemandu berusia antara 20-an hingga 40-an yang didapati positif dadah jenis ganja dan syabu hasil.
Pada operasi sama, katanya, seramai enam pemandu berusia antara 20 hingga 40 tahun dikesan positif dadah jenis syabu dan ganja.
“Selain itu, dua warga Pakistan turut ditahan JIM Jabatan selepas didapati menggunakan lesen memandu tempatan negara asal mereka ketika operasi berkenaan serta seorang warga Bangladesh kerana pasport tamat tempoh,” katanya. – MalaysiaGazette