SEBERANG PERAI – Motosikal berkuasa tinggi yang berharga hampir RM30,000 mampu dibeli namun pemiliknya tidak mempunyai sebarang lesen memandu.
Itu situasi salah seorang lelaki berusia 30-an yang ditahan dalam Operasi Khas Motosikal Hari Raya Aidiladha (HRA) yang dilakukan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) negeri di Jambatan Pulau Pinang di sini, malam tadi.
Lebih mengejutkan lelaki itu mendakwa dia dan isterinya dalam perjalanan dari Alor Setar, Kedah menuju ke bahagian Pulau semata-mata untuk menikmati juadah makan malam.
MalaysiaGazette difahamkan lelaki tersebut pada awalnya mengaku tidak mempunyai lesen bagi motosikal kuasa tinggi namun pemeriksaan pihak JPJ mendapati dia tidak mempunyai sebarang lesen memandu.
Selain itu, seorang lagi lelaki berusia 20 an turut dikesan melakukan kesalahan sama iaitu menunggang motosikal kuasa tinggi tanpa lesen dari Kuala Ketil, Kedah ke Pulau Pinang atas urusan kerja.
Susulan itu, masing-masing mereka dikenakan kompaun RM300.
Menurut Pengarah JPJ negeri, Adenan Md Isa berdasarkan beberapa operasi yang dijalankan pihaknya mendapati segelintir pemilik motosikal berkuasa tinggi tidak memiliki lesen memandu.
“Kita kerap kesan kesalahan menunggang motosikal berkuasa tinggi tanpa lesen ini dalam kalangan mereka yang menunggang secara berkumpulan atau konvoi.
“Mereka ini (pemilik motosikal berkuasa tinggi) dilihat tidak rasa bersalah walaupun tahu menunggang motosikal tanpa lesen itu menyalahi undang-undang selain mengancam nyawa sendiri serta pengguna jalan raya yang lain.
“Kita tidak akan berkompromi dengan penunggang sebegini dan operasi akan dipergiatkan bagi mengesan mereka yang menunggang motosikal berkuasa tinggi yang tanpa lesen,” katanya kepada pemberita di sini.
Terdahulu, Adenan turut serta dalam Operasi Khas Motosikal yang dilakukan bermula jam 8 malam hingga 11 malam.
Turut serta dalam operasi tersebut Polis Diraja Malaysia dan Agensi Antidadah Kebangsaan.
Dalam perkembangan sama, Adenan memberitahu sebanyak 4,902 kenderaan diperiksa dalam Operasi HRA berlangsung selama empat hari yang berakhir hari ini.
“Dalam tempoh itu, sebanyak 1,005 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan. Daripada jumlah itu kesalahan tidak memiliki lesen memandu mencatatkan rekod tertinggi dan diikuti dengan cukai jalan tamat tempoh,” katanya. – MalaysiaGazette