Ismail Sabri Yaakob Ismail Sabri Yaakob bergambar dengan para pelajar yang menerima Huawei MatePad selepas majlis pelancaran Huawei RuralStar Pro di Bera, Pahang.i.

BERA – Pelancaran RuralStar, alat peranti infrastruktur rangkaian telekomunikasi teknologi terkini akan dapat menghubungkan kawasan yang bukan hanya terpencil tetapi juga tidak mempunyai infrastruktur komunikasi yang lengkap.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peranti ini dapat memudahkan salinghubungan (ketersambungan) kepada komuniti-komuniti yang sukar dijangkau.

Peranti ini dibangunkan oleh Huawei Malaysia.

Menurut beliau, proses digitalisasi berlaku dengan giat di seluruh negara sejak penularan pandemik Covid-19 bagi membolehkan kehidupan harian diteruskan tanpa menganggu kelangsungan pendidikan dan juga produktiviti perniagaan.

Meskipun begitu, masih terdapat kelompok-kelompok kecil yang masih belum menerima manfaat daripada proses berkenaan.

”Justeru, kerajaan sentiasa berusaha membawakan arus kemajuan ini ke semua peringkat masyarakat bersesuaian dengan prinsip Keluarga Malaysia agar tiada sesiapa pun tertinggal daripada menikmati peluang kemakmuran bersama yang lebih inklusif dan saksama.

”Melalui teknologi seperti RuralStar, kemahiran digital dalam setiap lapisan masyarakat dapat dipupuk dan disemai agar tenaga kerja kita pada masa hadapan mempunyai daya saing yang tinggi.

”RuralStar merupakan teknologi pemangkin yang boleh membantu Keluarga Malaysia meningkatkan taraf kehidupan seharian dan seterusnya meningkatkan jejak digital mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Huawei RuralStar Pro dan Penyerahan Huawei Matepad kepada pelajar Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, En. Micheal Yuan dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Datuk Idham Nawawi.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa bangga kerana teknologi RuralStar Pro yang hanya beroperasi dengan tenaga solar pertama kali didirikan di Sekolah Kebangsaan Kampung Gemuroh, di sini.

Tambah Ismail Sabri, dalam mencapai pertumbuhan ekonomi yang semakin pesat, kerajaan tetap fokus kepada matlamat utamanya iaitu merapatkan jurang digital dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Salinghubungan atau ketersambungan digital yang menyeluruh di segenap lapisan masyarakat menjadi objektif utama dalam pentadbiran kerajaan,” ujarnya.

Dalam pada itu, pada majlis sama, sebanyak 200 tablet jenama Huawei berserta kad SIM Celcom akan diserahkan kepada golongan pelajar di Bera yang memerlukan bantuan pembelajaran. – MalaysiaGazette