Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

KUALA LUMPUR – Sebanyak 19 kes kematian dalam tahanan polis direkodkan bagi tempoh Januari hingga hari ini.

Setiausaha Polis Malaysia Polis Diraja Malaysia (PDRM), Deputi Komisioner Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, daripada jumlah tersebut sebanyak sembilan kes membabitkan kematian dalam lokap.

“Manakala lapan lagi kes kematian adalah berlaku di hospital dan dua kes kematian dalam perjalanan ke hospital,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kesemua kes kematian dalam tahanan polis itu telah disiasat Unit Siasatan Jenayah dan Kematian Dalam Tahanan (USJKT), Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) sejak penubuhannya pada 1 Januari lalu.

Kata beliau, data itu dapat dikumpul selepas mengadakan mesyuarat bersama Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (SIAP) semalam bagi membincangkan perkembangan terkini siasatan kes kematian dalam tahanan polis.

Mengulas lanjut, katanya, mengikut pecahan kaum, sebanyak 14 kes melibatkan kematian lelaki berbangsa Melayu, satu kes membabitkan lelaki berbangsa Cina, satu kes kematian melibatkan lelaki berbangsa India dan tiga kes kematian melibatkan warga asing.

“Tiga warga asing itu adalah dua lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki warga Indonesia.

“Justeru daripada 19 kes yang telah disiasat itu, satu kes telahpun dituduh di mahkamah pada 21 Januari lalu melibatkan empat orang suspek di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

“Manakala satu lagi kes telah dirujuk kepada Yang Arif Mahkamah Koroner dan 17 kes lagi masih dalam siasatan polis,” katanya lagi.

Noorsiah berkata, pihaknya juga menerima lawatan Suhakam dan SIAP ke lokap berpusat di Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, Selangor bagi memberi pencerahan dan gambaran pengoperasian lokap berpusat PDRM.

Katanya, lawatan itu turut disertai wakil sebuah pertubuhan bukan kerajaan iaitu Centhra (Centre For Human Rights Research and Advocacy).

“Kolaborasi PDRM bersama agensi-agensi lain merupakan sebahagian usaha PDRM ke arah menangani isu-isu kematian dalam tahanan dan jagaan polis dan pada masa sama, menunjukkan keterbukaan serta ketelusan PDRM dalam pengurusan tahanan,” ujar beliau. – MalaysiaGazette