Kembali selepas dua tahun.

KUALA LUMPUR – Ekspo Taiwan akan kembali diadakan di Malaysia yang meliputi pameran secara maya mulai 2 hingga 7 Ogos, 2022 selepas dua tahun tidak dianjurkan.

Taiwan External Trade Development Council (TAITRA) selaku penganjur ekspo berkata pendaftaran kini dibuka kepada mesyuarat perniagaan satu dengan satu yang menyediakan platform lengkap kepada perniagaan Malaysia untuk menjalin kerjasama lebih erat dengan rakan niaga Taiwan untuk meneraju pertumbuhan pasca pandemik bagi syarikat Malaysia.

“Membina momentum daripada hasil yang luar biasa dalam acara ini pada lima tahun lepas, Ekspo Taiwan di Malaysia pada 2022 menampilkan lebih 160 pengeluar Taiwan merentasi enam bidang utama,” menurut TAITRA dalam kenyataan hari ini.

Ia meliputi bidang Industri 4.0 dan Ekonomi Hijau, Perubatan Pintar, Pertanian Pintar, Halal, Gaya Hidup Taiwan serta Bakat, Pelancongan dan Perkhidmatan Kewangan.

Katanya sesi padanan e-perniagaan eksklusif satu dengan satu akan diadakan pada 3 hingga 5 Ogos.

Menurut TAITRA bidang Industri 4.0 dan Ekonomi Hijau memanfaatkan kepakaran Taiwan sebagai hab industri pembuatan kejituan dunia yang terkemuka dan akan mempamerkan rangkaian produk dan penyelesaian dalam bidang automasi, pembuatan pintar dan pembangunan mampan.

Pengeluar yang ditampilkan termasuk Hiwin Mikrosystem, pakar motor linear dan penyelesaian kawalan penempatan merangkap pengeluar pertama di Taiwan yang berkebolehan mengeluarkan motor linear secara besar-besaran.

Zon pameran Perubatan Pintar pula dibahagikan kepada tiga ruang iaitu Pavilion Penjagaan Kesihatan Taiwan, Pavilion Bertemakan Teknologi Paparan Perubatan Pintar dan Pavilion Penjagaan Kesihatan Inovatif dan Pintar.

Katanya penyelesaian teleperubatan Taiwan yang termaju dan peralatan perubatan terkini akan turut dipamerkan di pavilion ini.

Ia antaranya termasuk, penyelesaian paparan 3D mata kasar untuk pembedahan oleh Innolux Corporation, penyelesaian wad pintar iWard Advantech, penyelesaian teleperubatan iTeleMed, RTLS (Sistem Lokasi Masa Nyata) dan Troli Perubatan AMiS.

Sementara itu, pameran Pertanian Pintar pula menumpukan kepada produk segar dan penyelesaian logistik rangkaian sejuk dari Taiwan yang melibatkan syarikat seperti iAmech Technology, rakan logistik pintar bagi kebanyakan perniagaan e-dagang terkenal, pasar raya runcit, pengedar pakaian, pembekal perubatan dan pengeluar lain di seluruh dunia.

TAITRA berkata iAmech mempunyai pejabat di Malaysia untuk menyediakan perkhidmatan selepas jualan yang tepat pada waktunya bagi memastikan kepuasan yang menyeluruh.

Pameran Gaya Hidup Taiwan pula memaparkan produk gaya hidup yang inovatif, makanan istimewa Taiwan, kelengkapan sukan dan riadah serta pelbagai produk kebudayaan dan kreatif, termasuk rangkaian penjagaan rambut terkemuka Taiwan dari Dr’s Formula oleh Formosa Biomedical Technology dan Wau Bulan dan bunga raya gelas kristal Cina oleh Tittot Co Ltd.

Menurutnya ekspo tersebut adalah sebahagian daripada Dasar Baharu Pandang Ke Selatan oleh Taiwan bagi mengukuhkan hubungan yang lebih baik dengan rakan Asia Tenggara di mana Malaysia menjadi persinggahan pertama bagi acara tahun ini sebelum Thailand dan India.

Mereka yang berminat menyertai mesyuarat e-perniagaan satu dengan satu bersama-sama pempamer Taiwan boleh menghubungi Pusat Perdagangan Taiwan di Kuala Lumpur di talian +60 (3) 20312388 atau emel [email protected].

— BERNAMA