Amirudin Shari

SHAH ALAM – Datuk Seri Najib Razak didakwa hanya memalukan diri sendiri kerana pentadbirannya juga didakwa gagal menyelenggara Stadium Nasional Bukit Jalil sehingga fasiliti sukan itu dibaik pulih sehingga menelan kos lebih RM1 bilion.

Menteri Besar Selangor,  Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, lebih memalukan apabila peruntukan itu diluluskan sendiri beliau yang ketika itu Perdana Menteri keenam manakala Menteri Belia dan Sukan ketika itu ialah Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

“Pada 2016 hingga hujung 2017, Stadium Nasional Bukit Jalil telah diperbaharui (refurbished) dengan kos RM1 bilion dan ketika itu Datuk Seri Najib merupakan Perdana Menteri.

“Hujah yang digunakan Datuk Seri Najib itu jika dibandingkan dengan kita, dia seolah-olah menghina diri sendiri kerana meluluskan peruntukan RM1 bilion untuk stadium yang dibina pada 1998 itu,” katanya di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Sebelum ini, Najib mempersoalkan kerajaan Pakatan Harapan Selangor yang didakwa gagal menyelenggara Stadium Shah Alam sejak mentadbir 14 tahun di negeri itu sehingga ia semakin uzur dan mahu dirobohkan.

Menurut Najib, ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN), Stadium Merdeka yang berusia puluhan tahun bukan sahaja berada dalam keadaan baik bahkan tidak pernah dalam perancangan untuk dirobohkan.

Amirudin juga menafikan dakwaan Najib itu sebaliknya menegaskan, kerajaan negeri bukan sahaja memperuntukkan RM5 juta setiap tahun bahkan lebih RM56 juta telah dibelanjakan untuk pembaikan fasiliti sukan itu.

“Menjelang Sukan SEA pada 2017, kerajaan negeri membelanjakan hampir RM600,000 untuk kita memperbaiki bumbung polikabonat stadium yang sebelum itu berusia 16 tahun.

“Secara keseluruhan, kita telah membelanjakan RM56 juta untuk memperbaiki, menaik taraf dan memulihkan keadaan stadium dari semasa ke semasa bermula 2013.

“Kita membaik tandas, memperbaiki padang, mengganti bumbung bermula 2013 hingga 2014 kita memikirkan kemungkinan menaik taraf atau membangun semula stadium ini supaya lebih ampuh supaya tidak berulang lagi banjir pada 2006, 2015 dan 2021,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Najib persoal apa usaha PH jaga Stadium Shah Alam

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast