Penduduk membuat bantahan mengenai isu Stadium akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil dan akan mengurangkan kapasiti 30,000 hing­ga 40,000 penonton ketika di Stadium Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 11 JULAI 2022.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Cubaan untuk merobohkan Stadium Shah Alam menjadi persoalan terhadap usaha diambil Pakatan Harapan (PH) yang memegang Selangor lebih 14 tahun.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, keadaan stadium bersejarah itu mengalami kerosakan teruk selepas diambil alih PH pada 2008.

“Hanya dibina pada tahun 1994, umur stadium cuma 14 tahun sebelum penjagaannya diambil alih oleh kerajaan PR/PH pada tahun 2008.

“Selepas 14 tahun PH jaga, stadium ini dikatakan mengalami kerosakan teruk dan tidak dapat diselamatkan?” soalnya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Keadaan Stadium yang rosak dan lama tidak diselenggara berikutan akan diroboh dan digantikan dengan stadium baharu yang lebih kecil yang akan mengurangkan kapasiti 30,000 hing­ga 40,000 penonton ketika di Stadium Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 30 JUN 2022.

Malah, Ahli Parlimen Pekan itu menyifatkan alasan merobohkan untuk membina stadium baharu yang lebih kecil kerana senang dijaga tidak masuk akal.

“Bakal diroboh dan diganti dengan stadium baharu berkapasiti 30,000 hingga 40,000 sahaja dengan alasan stadium yang lebih kecil adalah lebih mudah dijaga?

“Stadium Merdeka berpuluh tahun lebih tua. Tiada pula kita nak robohkan,” ujarnya.

Bekas Presiden UMNO itu juga hairan apabila stadium antara terbesar di Asia dan dunia yang berkapasiti 80,300 orang itu boleh ‘hancur’ di tangan PH.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri bercadang merobohkan stadium berkenaan sebegai langkah penjimatan jangka masa panjang.

Jelas beliau, cadangan dan perancangan masa depan stadium itu akan diumumkan pada 16 Julai ini selepas stadium berkenaan memperuntuk RM5 juta bagi kos penyelenggaraan setiap tahun. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bantah roboh Stadium Shah Alam demi pembangunan berkepadatan tinggi – Salamon