Chow Kon Yeow. Kredit Foto - FB Ketua Menteri

GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) telah diarahkan untuk melakukan bedah siasat berhubung isu gangguan bekalan air terawat baru-baru ini hingga menjejaskan penduduk negeri itu.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, hasil bedah siasat isu itu akan dibentangkan dalam mesyuarat Exco akan datang.

Beliau berkata demikian menjawab desakan MCA Pulau Pinang yang menggesa PBAPP memberikan rebat sebagai ganti rugi kepada penduduk yang terjejas akibat gangguan bekala air baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Kon Yeow berkata, agensi negeri turut terjejas seperti rakyat negeri ini ekoran daripada bencana banjir di Baling, Kedah itu.

Jelas beliau, situasi gangguan bekalan air itu berlaku bukan disebabkan PBAPP tidak mahu beroperasi tetapi kekeruhan air mentah melepasi kemampuan di loji rawatan air (LRA) Sungai Dua.

“Malah, kesemua 400 warga PBAPP bertungkus-lumus sepanjang enam hari untuk memulihkan bekalan secepat mungkin yang mana ia turut melibatkan perbelanjaan memobilisasi jentera, kenderaan dan sebagainya.

“Bukan itu sahaja, tiada hasil buat PBAPP sekiranya tiada bekalan air. Jadi, kita ambil maklum cadangan itu tetapi setakat ini kita tidak bincangkannya lagi,” jelasnya yang juga Pengerusi PBAPP.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan Kerajaan Persekutuan digesa campur tangan dan mengambil tindakan dalam mengurangkan risiko bekalan air melibatkan Sungai Muda yang akan menjejaskan perkhidmatan bekalan air di Pulau Pinang.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, ia susulan lebih 80 peratus air mentah diabstrak setiap hari oleh PBAPP dari Sungai Muda.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP berkata, sebarang kejadian yang melibatkan Sungai Muda akan menjejaskan perkhidmatan bekalan air kira-kira 80 peratus daripada penduduk dan perniagaan yang berpusat di negeri ini. – MalaysiaGazette