Seorang suami ditemukan maut selepas dipukul isterinya dalam kejadian di kawasan perumahan Flat Nipah, Taman Daya, Johor Bahru pagi tadi.

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki ditemukan maut selepas dipukul isterinya dalam kejadian di kawasan perumahan Flat Nipah, Taman Daya, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat yang mengesahkan kejadian itu berkata, mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di dalam rumahnya.

Menurut beliau, mangsa berusia 44 tahun manakala isterinya yang juga suspek berusia 35 tahun.

“Kita menerima panggilan berhubung kejadian itu pukul 7.50 pagi dan bergegas ke tempat kejadian dan berjaya menahan suspek di kawasan sekitar.

“Anak lelaki sulung pasangan itu merupakan saksi kepada kejadian tersebut,” katanya yang dihubungi hari ini.

Suspek kini direman manakala motif dan senjata digunakan suspek masih dalam siasatan polis.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Sementara itu seorang jiran, Zaidah Neng, 46, berkata, pasangan suami isteri berkenaan kerap bergaduh sesama mereka dan wanita tersebut pernah ditahan polis sebelum ini.

“Saya memang kenal pasangan suami isteri berkenaan, tetapi kami tidaklah terlalu rapat cuma dia selalu datang beli burger digerai saya.

“Wanita berkenaan baik sahaja orangnya, cuma dia seperti ada masalah mental, jadi ada ketikanya dia akan bertindak garang dan kerap marah-marah.

“Tetapi saya tidak faham apa yang diperkatakan wanita itu kerana dia bercakap berseorangan dalam bahasa Mandarin,” katanya kepada pemberita selepas ditemui di kawasan berkenaan.

Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru untuk siasatan lanjut kira-kira pukul 11 pagi tadi. – MalaysiaGazette