PUTRAJAYA – Wanita yang menanggalkan pakaiannya serta tudung di hadapan penonton seperti yang tular di media sosial dan Pengasas Bersama kelab berunsur komedi, Crackhouse Comedy Club, Rizal Van Geyzel perlu memberi penjelasan terhadap isu yang dikaitkan dengan mereka.
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Nasruddin Hassan Tantawi berkata, pihaknya berhasrat untuk mengadakan pertemuan dengan Siti Nuramira Abdullah dan Rizal kerana perkara tersebut merupakan isu sensitif dan sepatutnya tidak berlaku
“Ini sangat mengecewakan dan sangat memalukan. Kami atas kapasiti Yadim bercaadang untuk menemui mereka dan bertemu dengan mereka bagi memberikan penjelasan tentang Islam dan betapa tindakan itu sebenarnya adalah salah besar dalam Islam.
“Kita harap mereka dapat kembali semula ke pangkal jalan dan memperakui kesalahan itu dengan menyatakan kekesalan dan buat perubahan,” kataya pada sidang media sempena majlis penghargaan dan ramah mesra bersama media, di sini, hari ini.
Kelab Komedi Crackhouse menjadi tumpuan selepas Siti Nuramira membuat persembahan yang didakwa menghina Islam.
Dalam persembahannya, wanita itu mendakwa beragama Islam serta menghafal 15 juzuk al-Quran sebelum secara tiba-tiba menanggalkan baju kurung dan tudung dipakainya, mendedahkan pakaian tidak menutup aurat yang dipakai didalamnya.
Wanita itu dan teman lelakinya yang berkongsi klip video tersebut telah dihadapkan ke mahkamah semalam untuk dibicarakan.
Dalam pada itu, Rizal direman selama sehari dan dijangka dibebaskan lewat hari ini selepas selesai proses siasatan polis.
Sementara itu, Nasaruddin memberitahu, Yadim akan menubuhkan Skuad Duat Siber (SDS) bagi menjawab mengenai penghinaan terhadap Islam di media sosial.
Jelasnya, pasukan tersebut terdiri daripada ilmuan agama dan berkemahiran dalam berdakwah.
“Karektor skuad ini mestilah seorang dari iaitu pendakwah yang boleh menyampaikan maklumat secara berstrategik.
“Pendakwah cyber ini akan berperanan untuk menjawab semua penghinaan dan tulisan serta kenyataan yang mempersendakan Islam di media sosial.
“Sekarang ini begitu galak berleluasa serangan kepada Islam dan mempermainkan Islam. Tapi tidak ada orang yang jawan secara terancang,” katanya.
Menurut beliau, Yadim masih dalam proses memperincikan cadangan itu sebelum pelaksanaan digerakkan dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette