KUANTAN – Seramai 180 penunggang motosikal jenis Yamaha LC135 merah dengan nombor plat pendaftaran Jabatan Pengangkuan Jalan (JPJ) 1010 memulakan perjalanan konvoi satu Malaysia dan ke beberapa negara Asia secara berperingkat bermula dari Pahang, hari ini.
Pengarah Urusan Hong Leong Group, Datuk Dr Jim Khor berkata, ia merupakan usaha memperkenalkan satu-satunya motosikal keluaran Yamaha yang hanya dikeluarkan dan dijual di Malaysia.
“Apa yang uniknya, Yamaha LC135 warna merah ini hanya dikeluarkan oleh kilang untuk dijual di Malaysia sahaja. Tiada di negara Asia seperti Indonesia, Jepun, Vietnam dan Thailand seperti mana kebiasaan pasaran Yamaha,” katanya.
Jim berkata, hanya terdapat 180 buah motosikal yang tertera nombor plat khas 1010 di Malaysia dan pembeli perlu menunggu beberapa tempoh bagi menguruskan tempahan khas nombor plat ini, sebelum memiliki motosikal mereka.
Mengulas mengenai simbolik paparan nombor plat khas 1010 pada semua motosikal itu, Jim memberitahu angka itu bermaksud “Perfect” atau sempurna bagi fengshui Cina.
“Sebab itu kita katakan kelab ini sangat unik. Kesemua perjalanan peserta konvoi akan ditaja oleh Yamaha yang mana mereka akan menampilkan keunikan Malaysia. Setakat ini ada 60 pengguna jalan raya yang telah membeli mososikal tersebut,” katanya.
Menurut Jim, konvoi ini akan dijalankan setiap bulan bermula bulan ini ke seluruh negeri sebelum memulakan perjalanan ke Thailand, Vietnam dan Indonesia.
Hari ini, seramai 60 orang penunggang daripada ahli Kelab Keluarga Besar Yamaha LC1010, (LC1010 Big Family Club) akan memulakan perjalanan pertama dengan berkonvoi dari Padang Lalang Kuantan ke pameran khas sempena Karnival Belia Dan Sukan 2022 Negeri Pahang, di Padang Kemunting, Kuantan.- MalaysiaGazette