Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap kepada media selepas Kongres Nasional ke-16 Parti Keadilan Rakyat (PKR) di IDCC Shah Alam. Foto MOHD ADZLAN, 16 JULAI 2022.

SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur Rafizi Ramli yang menyuarakan sanggahannya semasa kongres  diadakan pada hari ini.

Beliau berkata, Timbalan Presiden yang baru memenangi pemilihan parti itu sepatutnya menyuarakan kritikan dan bantahan menerusi perbincangan dalaman.

Jelasnya, kongres parti merupakan medium untuk membincangkan langkah untuk memperkuatkan parti dan saf.

“Tentunya saya tidak ada kekuatan menarik orang muda, seperti mana yang berlaku 40 tahun yang lalu tapi tidak perlu disanggah masa kongres yang semua orang cakap pasal perbincangan positif, perkuatkan parti, kuatkan saf, kita cari hal yang belum tentu dipersetujui atau konsensus dari segi kajiannya,” katanya ketika sidang media.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Rafizi Ramli yang menganggap Anwar kini semakin hilang populariti.

Bagaimanapun, Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, beliau tidak mahu memanjangkan isu berkenaan kerana mengenali Rafizi akan mengeluarkan kenyataan menyinggung perasaan orang lain.

Kata Anwar, beliau bersedia memperbaiki kelemahan parti khususnya menarik pengundi muda.

“Tapi saya tidak mahu panjangkan isu ini kerana ini Rafizi, kalau dia tidak gunakan suaranya untuk menyinggung sikit-sikit itu bukan dia, saya harap mudah-mudahan dalam beberapa perbincangan awal, kita pujuk dia supaya redakan hal ini dan tumpu menyerang musuh, tumpu perkuatkan parti bila dia sibuk bab itu dia tidak nampak sangat masalah dalaman parti, kerana masalah dalaman boleh bincang, kritik, sanggah, bantah dalam forum dalaman, itu adab jemaah yang konsensus pimpinan.

“Itu pandangannya, saya orang lama dalam perjuangan ini saya tidak ada masalah mengatakan ada beberapa kelemahan yang boleh saya perbaiki dan umumnya dalam soal orang muda bukan saya, bukan Saifuddin, bukan Rafizi, ini Adam Adli dan pasukannya yang boleh menarik,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, Presiden PKR itu menganggap kenyataan Rafizi bahawa Anwar tidak perlu dipertahankan dan dibodek bukan masalah besar.

Sebaliknya Anwar menganggap kedudukan Rafizi sebagai Timbalan Presiden lebih penting untuk memperkukuhkan parti berkenaan.

“Dibangkitkan soal singgungan Rafizi itu, itu biasa yang kenal Rafizi itu tahu dia tidak biasa dengan kenyataan yang dia (Rafizi) tidak singgung orang. Jadi saya tidak lihat sebagai masalah yang besar, kerana yang pentingnya beliau bersetuju bersama dalam pasukan bekerjasama dan memberikan sokongan dan tidak mahu perti ini dianggap terlalu lembap, itu tidak ada masalah.

“Elok kita tumpu kepada bentuk persefahaman yang penting, saya ambil sikap yang positif,” kata Anwar lagi. – MalaysiaGazette