KUALA LUMPUR – Majlis Pemulihan Negara (MPN) akan mendengar pembentangan laporan terkini situasi Covid-19 daripada Kementerian Kesihatan (KKM) pada mesyuarat yang akan diadakan pada akhir bulan ini.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, beliau yakin pandemik itu masih terkawal itu walaupun lonjakan kes berlaku sejak kebelakangan ini.
Beliau berkata, turut dibentangkan adalah laporan mengenai pengurusan ekonomi negara.
“Kita tiada masalah dalam operasi logistik seperti katil hospital dan keupayaan untuk menguruskan (kes).
“Dua tahun lalu telah memberikan kami pengalaman yang cukup dalam menguruskan Covid-19,” katanya selepas melancarkan Program Donation Blood Driove 2022 anjuran Tan Sri Muhyiddin Charity Golf Foundation (TSMCGF) di Mid Valley Mega Mall, di sini, hari ini.
Beliau diminta mengulas mengenai peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini yang mencatatkan sebanyak 5,230 kes semalam berbanding 4,098 kes kelmarin.
Berdasarkan laman web, https://covidnow.moh.gov.my, hari ini, Selangor kembali menjadi negeri tertinggi kes positif iaitu 1,877 kes diikuti Kuala Lumpur (1,584), Perak (399) dan Sabah (261).
Pesakit Covid-19 yang diwadkan meningkat kepada 608 orang berbanding kelmarin, 593 orang manakala kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) semalam merekodkan 64 kes berbanding jumlah semalam, 53 kes.
Bagi kes kematian, Malaysia mencatatkan lapan kematian Covid-19 semalam berbanding sembilan kes kelmarin, sekali gus menjadikan jumlah terkini sebanyak 35,836 kes.
Sementara itu, Muhyiddin menambah, Pelan Pemulihan Nasional 2.0 yang sedang disiapkan MPN akan mengambil kira langkah holistik yang perlu diambil berhubung ekonomi memandangkan rakyat kini dibebani dengan inflasi, kenaikan harga barang dan pelbagai isu lain. – MalaysiaGazette