Kuala Lumpur – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) menyokong penuh hasrat Mirakama Sdn. Bhd. untuk membantu seramai mungkin kru penerbangan mendapatkan diploma melalui Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT).
Setiausaha Agungnya, Mohd Akram Osman berkata, usaha seperti ini adalah amat baik kerana kebanyakan kru memiliki pengalaman kerja lebih dari lima tahun.
“Usaha seperti ini perlu diketengahkan kerana ramai kru penerbangan hanya memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan keadaan ini menyukarkan mereka untuk mendapat pekerjaan lain selepas berhenti dari syarikat penerbangan sedangkan ada di antara mereka yang berkerja lebih 15 tahun tetapi tiada sijil.
“Nufam akan menyokong penuh usaha ini dan bekerjasama dengan syarikat ini bagi menjayakan program ini supaya nasib kru penerbangan akan lebih terjamin selepas berhenti dari syarikat penerbangan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kelmarin Malaysia Gazette melaporkan, pengarah urusan Mirakama membuat laporan polis tentang tindakan sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) Selangor yang didakwa mencuri keseluruhan idea dan kertas kerja milik syarikatnya.
Antara idea projek itu adalah untuk membantu ribuan kru penerbangan yang hanya memiliki SPM mendapatkan diploma melalui program PPT.
Menurut Mohd Akram lagi, sejak pandemik COVID-19 dua tahun lalu ramai kru penerbangan terjejas dan sukar mencari pekerjaan lain kerana mereka hanya memiliki SPM.
“Nufam sedar akan masalah ini dan telah melakukan pelbagai usaha untuk membantu mereka yang terjejas termasuk ‘reskilling’ dan ‘upskilling’.
“Sehubungan itu, kami akan bekerjasama dengan Mirakama Sdn. Bhd. bagi memastikan lebih ramai kru penerbangan khususnya ahli kami untuk menyertai program PPT ini dan seterusnya mendapatkan peluang pekerjaan lebih baik,” ujarnya. -MalaysiaGazette