Jabatan Kesihatan Negeri Melaka mengeluarkan kompaun sebanyak RM320,500 kepada 1,304 perokok tegar di negeri ini yang dikesan melanggar peraturan larangan merokok terutamanya di kedai makan. 

MELAKA – Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) mengeluarkan kompaun sebanyak RM320,500 kepada lebih 1,000 perokok tegar di negeri ini yang dikesan melanggar peraturan larangan merokok terutamanya di kedai makan.

Exco Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, ia membabitkan 1,304 notis yang dikeluarkan sehingga 9 Julai lalu terhadap pesalah di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

Menurutnya, secara keseluruhannya dalam tempoh sama, JKN mengeluarkan 1,368 notis kesalahan bernilai RM326,000 di bawah PPKHT 2004 melibatkan sembilan kesalahan.

“Kesalahan tertinggi adalah merokok di kawasan larangan sebanyak 683 notis, larangan merokok di kawasan Melaka Bebas Asap Rokok (MBAR) (491), merokok di bawah umur atau memiliki hasil tembakau (130) dan gagal mempamer tanda larangan merokok di premis sebanyak 28 kes.

Operasi Mega Penguatkuasaan Kawalan Hasil Tembakau pada Khamis dan Jumaat lalu menyaksikan 104 notis dikeluarkan melibatkan kompaun berjumlah RM29,750 terhadap pelbagai kesalahan.

“Selain itu, kita juga mengesan ada juga premis yang kita dapati masih menjual rokok kepada pelajar sekolah dan remaja di bawah umur 18 tahun walaupun sudah banyak kali diberikan notis sebelum ini,” katanya pada sidang media di Ayer Keroh di sini.

Hadir sama, Pengarah Kesihatan negeri Dr Rusdi Abdul Rahman dan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka Norena Jaafar.

Mengulas lanjut, Dr Muhamad Akmal berkata, dalam operasi Operasi Mega Penguatkuasaan Kawalan Hasil Tembakau pada Khamis dan Jumaat lalu, JKN mengeluarkan 104 notis kesalahan melibatkan kompaun berjumlah RM29,750 terhadap pelbagai kesalahan.

Dr Muhamad Akmal Saleh

“Dalam operasi bersepadu itu, tujuh premis turut dikesan menjual rokok di bawah harga minimum, rokok seludup atau tidak bercukai dengan lapan notis kesalahan bernilai RM4,000.

“Operasi yang turut disertai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan KPDNHEP Melaka itu turut memeriksa 180 premis termasuk kedai runcit, restoran dan kedai makan,” katanya.

Tambahnya, antara kesalahan lain ialah kegagalan pemilik premis mempamerkan tanda larangan merokok, menjual rokok secara berasingan dari kotak dan menjual peket atau karton rokok yang tidak dicetak dengan imej amaran kesihatan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast