KUALA LUMPUR – Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) yang menyambut baik keputusan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk melepaskan stok penimbal ubat-ubatan kepada klinik dan hospital swasta berharap tindakan itu dilakukan dengan kadar segera.
Ini kerana, majoriti klinik-klinik swasta di negara ini sudah kehabisan bekalan ubat.
Presiden Perdim, Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, untuk menyegerakan tindakan tersebut pihaknya berharap prosedur operasi standard (SOP) dalam pemberian atau pembelian ubat-ubatan tersebut dapat ditangani.
Beliau mencadangkan KKM bekerjasama dengan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan kesihatan seperti Perdim untuk membantu mempercepatkan dalam mendapatkan senarai klinik swasta yang memerlukan bekalan ubat dengan segera.
“Urusan logistik penghantaran oleh Pharmaniaga perlu disegerakan dan jika perlu benarkan klinik-klinik yang memerlukan stok ubat segera datang mengambil ubat secara terus di hospitak dan klinik kesihatan kerajaan yang berdekatan,” katanya kepada MalaysiaGazette.
Semalam, Khairy Jamaluddin mengakui masih terdapat fasiliti antaranya klinik swasta yang tidak mendapat bekalan ubat-ubatan untuk batuk dan selesema.
Sehubungan itu, KKM akan melepaskan stok penimbal ubat-ubatan yang berdepan masalah bekalan.
“Stok penimbal kerajaan diuruskan oleh Pharmaniaga dan saya sudah mengarahkan semalam supaya dahulukan kepada klinik dan hospital swasta yang mempunyai keperluan.
“Langkah ini sementara menunggu pengeluaran lebih stabil dari kilang ubat-ubatan dalam tempoh dua bulan lagi,” kata Menteri Kesihatan itu.
Boi Saidi bimbang kekurangan bekalan ubat di klinik-klinik swasta akan melumpuhkan sistem kesihatan di negara ini memandangkan 60 peratus pesakit di negara ini mendapatkan rawatan di klinik tersebut dan 40 peratus lagi di klinik kesihatan.
”Jika klinik swasta tidak ada ubat, besar implikasinya ke atas sistem kesihatan negara,” ujar beliau.
Tambah beliau, sekiranya 60 peratus pesakit yang mendapatkan rawatan di klinik swasta beralih ke klinik kesihatan atau hospital kerajaan, ia bakal menimbulkan kesesakan melampau di fasiliti-fasiliti tersebut.
Akibatnya masa menunggu pesakit, masa berjumpa doktor hingga urusan mendapatkan ubat akan menjadi lebih lama.
“Perkara ini perlu dielakkan, justeru Perdim berharap isu ini dapat diselesaikan oleh KKM supaya sistem kesihatan negara tidak terjejas,” katanya. – MalaysiaGazette