SHAH ALAM – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengibaratkan ucapan timbalannya yang baharu Rafizi Ramli seperti ubat panadol yang menghilangkan sakit kepala.
Anwar berkata, sebelum Rafizi menyampaikan ucapan penggulungan pada Kongres ke-16 PKR, beliau sempat mengingatkan Timbalan Presiden PKR itu supaya tidak menambahkan ‘pening kepalanya’.
Menurut Anwar, memang menjadi tabiat orang yang kuat bekerja dan cerdik seperti Rafizi memberi pandangan atau singgungan yang boleh memeningkan kepala.
“Aku ini Rafizi lama dah, janganlah tambah pening aku. Rupa-rupa dia datang beri ucapan beri panadol, hilang pening saya.
“Saya kenal Rafizi lama dari segi kemahiran, kerja. Dia terus kerja jam 8 pagi sudah ada usul atas meja saya. Sebab itu bila ada singgungan sikit-sikit saya bersabar sahaja,” kata Anwar dalam Ucapan Penggulungan Presiden di Kongres PKR ke-16 hari ini.
Tambah Anwar, yang menjadi masalah dalam perhubungan kerana wujudnya penyokong ‘bebal’ yang tidak faham bahawa dalam perjuangan semangat persaudaraan yang terjalin adalah tebal.
“Ada beza orang kelas berpendapat dan berpendirian dalam beberapa isu agak menyanggah pendapat kita. Tetapi bukan khianat. Bukan kaki fitnah. Bukan perompak dan perasuah.
“Yang kita ajak perang ini orang rasuah dan khianat. Tumpu ke arah itu,” kata Anwar.
Perhubungan Anwar dan Rafizi menjadi tumpuan dalam Kongress Nasional PKR ke-16 selepas beberapa kenyataan Rafizi kelihatan seolah-olah menyangah pendapat dan pandangan Anwar.
Bagaimanapun kedua-dua pihak kelihatan cuba menenangkan keadaan dengan memberikan ucapan yang dilihat berlapik ketika membuat ucapan penggulungan.
Rafizi dalam ucapannya sebelum itu memberikan keyakinan kepada Anwar bahawa dirinya tidak seperti bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Mohamed Azmin Ali yang akan mengkhianati Anwar.
Pada sidang media, Anwar berkata, kongress tersebut berjaya menutup tuduhan wujudnya kumpulan menyokong beliau dan menyokong Rafizi.
“Setakat ini jika kita lihat sentimen itu positif. Rafizi juga mengaku ada beberapa penekanan dia agak berbeza. Tapi bukan masalah dalam parti ini.
“Bukan semua kena ikut satu pandangan. Pandangan itu memenang diharuskan untuk kepentingan dan usaha memperkukuhkan parti dan jentera,” jelasnya.-MalaysiaGazette