Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah. Foto MOHD ADZLAN, 07 DESEMBER 2021.

KUANTAN – Malaysia akan terus memberikan komitmen yang tidak berbelah bahagi sebagai ahli Pasukan Penyiasatan bersama Joint Investigation Team (JIT) berhubung kes pesawat Malaysia Airlines MH17 ditembak jatuh  di Wilayah Donetsk, Ukraine.

Hari ini merupakan ulang tahun kelapan kejadian menyedihkan pada 17 Julai 2014 lalu.

Menteri Luar,  Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, secara konsistennya Malaysia menyokong proses penyiasatan bebas dan menyeluruh terhadap penjenayah yang didakwa dalam Pendakwaan Kebangsaan Belanda.

Justeru beliau mengharapkan proses  kehakiman yang dijalankan adalah telus dalam usaha untuk mencari kebenaran, keadilan dan akauntabiliti.

“Malaysia merakamkan penghargaan kepada rakan JIT dalam penyiasatan jenayah dan prosiding suspek-suspek yang didakwa atas peranan mereka dalam penembakan jatuh pesawat MH17.

“Dalam memperingati mangsa dan waris nahas ini, hanya proses undang-undang yang menyeluruh mampu memberikan keputusan adil dan saksama,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sejurus Majlis Penyampaian Kejohanan Taekwon-do MGTF bagi sekolah-sekolah serta kelab-kelab negeri Pahang di Kuantan Parade hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin menasihati rakyat Malaysia di Sri Lanka tidak menyertai mana-mana tunjuk perasaan atau protes di negara itu.

Menurutnya, langkah berjaga-jaga perlu diambil bagi mengelak sebarang kecelakaan meskipun situasi di negara itu kini semakin terkawal.

“Kita minta rakyat Malaysia yang berada di Sri Lanka supaya menjaga keselamatan masing-masing dan tidak menyertai, mendekati apa-apa perhimpunan, protes, sokongan di sana.

“Rakyat Malaysia juga diminta supaya menghubungi perwakilan Malaysia (Malawakil) di Colombia bagi mendapatkan perkembangan semasa mengenai krisis di Sri Lanka.

“Setakat ini seramai 126 rakyat Malaysia telah berdaftar dengan kedutaan di Colombia,” katanya.

Jelas Ahli Parlimen Indera Mahkota itu, sebahagian yang telah mendaftar dengan kedutaan  telah selamat pulang secara sukarela ke Malaysia menggunakan pesawat komesial.

Namun pihaknya masih mempoleh jumlah yang telah peluang dan masih mengumpul data keseluruhan.- MalaysiaGazette