Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin hadir pada Majlis Silaturahim Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia (DSSM) di Hotel Everly, Putrajaya. Foto MUHD NA'IM, 17 JULAI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengarahkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) membantu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk memerangi ketirisan bekalan minyak masak di negara ini.

Komitmen itu dinyatakan oleh menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin selepas Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memohon bantuan PDRM untuk menggerakkan operasi memerangi sindiket terlibat.

“Daripada pengalaman saya dulu sebagai Menteri KPDNHEP (dahulu KPDNKK) dalam isu sama, saya hanya menggunakan penguat kuasa yang ada melalui agensi dari kementerian sendiri.

“Oleh kerana sekarang mereka memohon bantuan kepada kita, maka kami bersedia untuk memberikan kerjasama dalam soal ini, itu tidak menjadi masalah dan kita bersedia untuk membantu KPDNHEP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Silaturrahim Pendekat anjuran Persatuan Dunia Seni Silat Melayu Malaysia di sini petang tadi.

Dalam perkara berkaitan, Hamzah menambah, apa yang penting,  rakyat perlu memahami kerajaan mempunyai penguat kuasa yang boleh digunakan bukan semata-mata untuk undang-undang tertentu sahaja.

“Lagi pun, saya juga dulu pernah membuat operasi membantu rakyat, jadi ini salah satu cara untuk kita membantu rakyat. Kerjasama ini penting untuk kerajaan terus memastikan tidak ada mana-mana pihak yang mengambil kesempatan dan menyalahgunakan segala barang keperluan yang disediakan untuk rakyat,” tegasnya.

Pada 4 Julai lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan akan mengerahkan PDRM dan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memerangi ketirisan barang bersubsidi khususnya minyak masak.

Rentetan pengumuman itu, pada hari yang sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani menyahut seruan itu menyatakan kesediaan PDRM bekerjasama dengan ATM untuk membantu KPDNHEP. – MalaysiaGazette