sprm
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini telah  berjaya menahan tiga individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif anak syarikat sebuah bank kerana disyaki menerima rasuah berjumlah lebih RM24 juta.

Suapan itu sebagai balasan meluluskan pinjaman yang dibuat oleh syarikat tempatan berjumlah lebih RM294 juta.

Sumber memberitahu, suspek wanita berusia dalam lingkungan 50-an itu bersama dua lagi suspek lelaki berusia antara 53 hingga 58 tahun ditahan kira-kira jam 6 petang tadi di ibu pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan untuk membantu siasatan kes.

Katanya, suspek wanita tersebut dipercayai menerima wang rasuah berjumlah lebih RM24 juta ketika berkhidmat dengan anak syarikat sebuah bank pada sekitar tahun 2010.

“Suspek lelaki berusia 53 tahun itu pula kini bekerja sebagai perunding kewangan manakala rakannya tidak bekerja,” kata sumber itu lagi.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.

Katanya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009 dan permohonan reman terhadap kesemua suspek akan dibuat esok pada jam 9 pagi di Mahkamah Majistret Putrajaya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast